Siakap Keli

Ramai Tertanya-tanya, Ini Maksud ‘Sistem Tekanan Rendah’, Beza Monsun Barat Daya Dengan Monsun Timur Laut & Bila Berlaku

Siapa sangka banjir besar boleh melanda Lembah Klang dengan sekelip mata saja, ia sememangnya bencana yang amat dahsyat dan memilukan. Manakan tidak, banyak rumah mangsa banjir yang musnah dan ada juga penduduk yang terkorban dalam kejadian itu.

Bila ianya berlaku, ramai yang mula sedar mengenai perubahan cuaca yang berlaku pada ketika ini terutama apabila Lembah Klang sebelum ini tidak pernah dilanda hujan dalam jumlah taburan yang banyak.

Bercakap mengenainya, mesti ramai yang sudah tahu bahawa negara kita ini mempunyai fenomena cuaca monsun yang mengalami proses tekanan tinggi dan rendah, namun apakah sebenarnya monsun ini dan bagaimana pula dengan sistem tekanan rendah dan tekanan tinggi di atmosfera?

Udara naik dan turun

Atmosfera bumi sememangnya memberikan tekanan kepada permukaan dan ia diukur dalam hectoPascals (hPa) yang juga dipanggil milibar. Tekanan standard pada paras laut pula ditakrifkan sebagai 1013hPa.

Kawasan ini bersifat relatif antara satu sama lain, jadi tinggi atau rendah tekanan yang berlaku bergantung pada kawasan di sekelilingnya.

Apabila udara menjadi panas, ia naik dan membawa kepada tekanan rendah di permukaan. Manakala, apabila udara sejuk, ia turun dan membawa kepada tekanan tinggi di permukaan.

Sistem tekanan rendah

Bagi yang belum tahu, sistem tekanan rendah berlaku apabila udara naik dan bertiup mengikut arah lawan jam di sekitar kawasan rendah (di hemisfera utara). Apabila ia naik dan menyejuk, wap air yang terkondensasi akan membentuk awan dan mungkin kerpasan (hujan batu).

Disebabkan proses tersebut, cuaca dalam keadaan tekanan rendah ini kebiasaannya berlaku dalam keadaan yang ‘sangat huru-hura’ dan menakutkan.

Sistem tekanan tinggi

Sistem tekanan tinggi atau dipanggil antisiklon pula cenderung membawa angin ringan dan bertiup mengikut arah jam (di hemisfera utara). Ketika ia berlaku, udara menurun dan membuatkan pembentukan awan berkurang.

Berbeza dengan tekanan rendah, antisiklon membawa angin yang ringan dan keadaan cuaca yang tenang.

Kaitan tekanan tinggi dan rendah ketika monsun

Menurut laman MetMalaysia, negara kita mempunyai fenomena cuaca Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut yang mempunyai tempoh peralihan. Apabila tibanya hujung tahun iaitu sekitar bulan November hingga Mac, Monsun Timur Laut ‘memainkan peranan’ membawa hujan yang lebat terutamanya di negeri-negeri pantai timur iaitu negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur serta barat Sarawak.

Manakala, Monsun Barat Daya pula bermula dari akhir bulan Mei hingga September yang relatifnya menunjukkan cuaca yang lebih kering.

Untuk pengetahuan anda, monsun berlaku disebabkan oleh perbezaan suhu di antara daratan dan lautan hasil daripada pemanasan sinaran matahari. Justeru, ketika musim sejuk, kawasan dararan benua menyejuk dengan lebih cepat dan menyebabkan suhu amat rendah di Asia Tengah.

Keadaan ini menyebabkan tekanan atmosfera meningkat dan membentuk sistem tekanan tinggi (antisiklon) yang sangat kuat di Siberia. Akibatnya, udara sejuk bergerak keluar dari Siberia sebagai angin barat laut dan seterusnya bertukar menjadi angin timur laut apabila tiba di perairan pantai China sebelum menuju ke Asia Tenggara.

Difahamkan, ledakan udara sejuk yang kuat atau dipanggil luruan monsun saling bertindak dengan sistem tekanan rendah dan pusaran siklon yang terbentuk berhampiran Khatulistiwa dari masa ke masa.

Ia seterusnya akan menghasilkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan serta hujan lebat di pantai timur Semenanjung Malaysia dan juga di pantai barat Sarawak.

Ketika musim panas pula, berlakunya peningkatan suhu di kawasan daratan Asia kerana pemanasan suria yang kuat. Apabila udara panas mengembang naik, kawasan tekanan rendah separa tetap terbentuk.

Tidak cuma itu, ia juga menyebabkan angin tenggara lembap yang berasal dari selatan Lautan Hindi dan rantau Indonesia-Australia bertukar menjadi angin barat daya apabila merentasi Khatulistiwa. Angin ini seterusnya bergerak merentasi Asia Tenggara sebelum menumpu ke arah Indochina, China dan Barat Laut Pasifik.

Sementara itu, kebanyakan negeri di Malaysia juga kebiasaannya mengalami hujan bulanan minimum di antara 100 hingga 150mm ketika musim Monsun Barat Daya. Ia menunjukkan bahawa keadaan atmosfera di kawasan khatulistiwa stabil. Keadaan kering di Semenanjung Malaysia itu disebabkan oleh kesan lindung huja oleh banjaran gunung di Sumatera.

Musim peralihan monsun

Apabila bermulanya peralihan monsun, keadaan angin pada ketika itu adalah sepoi-sepoi dan berubah-ubah. Langit biasanya akan menjadi cerah pada waktu pagi dan membantu pembentukan ribut petir sebelah petang.

Ribut petir itu pula akan menghasilkan purata hujan bulanan maksimum semasa kedua-dua musim peralihan monsun di negeri-negeri pantai barat semenanjung.

Berikut merupakan persediaan yang boleh dilakukan untuk menghadapi monsun lembap:

Sebelum Musim Monsun

  • Sentiasa mendengar siaran radio, televisyen atau media sosial untuk amaran angin kencang dan laut bergelora.
  • Pastikan bekalan air dan makanan yang tidak mudah rosak disimpan secukupnya.
  • Bersihkan longkang, parit dan talang hujan daripada tersumbat.

Semasa Musim Monsun

  • Tinggal di tanah kukuh. Jauhi dari longkang beraliran laju, sungai dan kawasan banjir.
  • Jangan memandu ke kawasan banjir. Elakkan daripada melalui jambatan yang tidak kukuh dan jalan yang selalu dinaiki air.
  • Ikut arahan pihak berkuasa pengurusan bencana tempatan.
  • Bersedia untuk berpindah jika diarahkan terutamanya bagi yang tinggal di kawasan pantai, berhampiran sungai atau kawasan rendah.
  • Pastikan kenderaan anda diletakkan di tempat tinggi dan segala harta benda yang lain terjamin daripada kerugian dan kemusnahan akibat daripada banjir.
  • Elakkan daripada pergi ke laut dengan menggunakan kapal atau bot kecil.

Sumber: MetMalaysia, American Geo Science

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.