ALOR GAJAH – Seorang lelaki maut selepas dirempuh lori ketika menukar tayar yang pancit di Kilometer 218.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) pagi tadi. Kejadian itu berlaku di hadapan isteri dan anaknya.
Kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa yang berusia 42, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku semasa mangsa bersama keluarganya menaiki kereta jenis Proton Perdana dalam perjalanan dari arah Batu Gajah, Perak ke Skudai, Johor.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, tayar belakang sebelah kiri kereta itu pancit menyebabkan mangsa terpaksa memberhentikan kenderaan di bahu jalan dan menukarnya.
“Menurut keluarganya, sebaik sahaja mangsa selesai menukar tayar, dia tiba-tiba dilanggar sebuah lori yang tidak dapat dikenal pasti dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah”, katanya.
Tambahnya lagi, kenderaan berat berkenaan bagaimanapun tidak memberhentikan kenderaan, malah meneruskan perjalanan.
Sementara itu, pihak mereka kini sedang mengesan lori terbabit dan saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan.
“Setakat ini ahli keluarga mangsa tidak mengecam plat pendaftaran lori terbabit selain lokasi kejadian juga tiada kamera litar tertutup (CCTV)”, katanya.
Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Utusan Malaysia