Siakap Keli

Wow, Pelabur Asing Kongsi Keyakinan Mereka Terhadap Malaysia

Pandemik COVID-19 telah memberi impak yang amat besar kepada ekonomi negara. Antara kebimbangan yang besar adalah mampukah Malaysia kekal menjadi pusat pelaburan yang utama di rantau ini?

Pun begitu, dari Januari hingga September 2021, Malaysia telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM177.8 bilion meliputi sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama. Jumlah ini merekodkan lonjakan ketara sebanyak 51.5 peratus berbanding RM63.3 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2020 dan dijangka sejumlah 79,899 peluang pekerjaan dapat dijana melaluinya.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui agensinya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dilihat telah menjalankan pelbagai inisiatif untuk menarik pelaburan baharu dari sektor bernilai tinggi yang bersifat lebih mesra alam serta merupakan syarikat multinasional yang mempunyai tanggungjawab sosial yang tinggi. Ini selari dengan objektif MITI iaitu mewujudkan peluang pekerjaan yang inovatif dan berkemahiran tinggi bagi pasaran tenaga kerja yang semakin meningkat di Malaysia.

Pelbagai pelabur dengan berbagai-bagai latar belakang dari serata dunia telah melabur di Malaysia dengan menjalankan perniagaan, membuka kilang mahupun menggunakan tenaga kerja serta kepakaran tempatan. Pendapat mereka tentang Malaysia telah dikongsikan melalui kempen Pelabur Bersama Malaysia yang diperkenalkan MITI. Antaranya ialah syarikat gergasi seperti Microsoft, Standard Chartered, Signify (dahulu dikenali Philips Malaysia), SOCAR, Schneider Electrics dan banyak lagi.

Microsoft yang telah bertapak selama hampir 30 tahun di Malaysia berkata mereka berbangga untuk berada di sini dan teruja untuk memperkukuh kerjasama dalam memperkasakan ekonomi digital Malaysia.

K Raman, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia berkata, “Pusat data serantau Microsoft untuk rantau ini akan menjadi pemangkin yang membantu perniagaan mempercepatkan transformasi digital dalam AI, IoT, penyelesaian tercanggih dan pembelajaran mesin serta banyak lagi.”

Bukan setakat itu sahaja, dengan digitalisasi yang berlaku segenap sudut, perniagaan sewa kereta juga tidak terkecuali. Leon Foong, CEO SOCAR Malaysia berkata mereka menikmati urus niaga di Malaysia yang mempunyai kerangka dan undang-undang yang jelas seperti jika ingin memohon lesen atau mendapatkan status MSC.

Bercakap soal infrastruktur telekomunikasi, wakil Huawei percaya bahawa Malaysia akan terus memiliki ekosistem perniagaan yang maju dalam keadaan sukar disebabkan infrastruktur ICT moden dan kemajuan dalam pembangunan ekonomi digital di sini.

Astri Ramayanti Dharmawan, Pengarah Besar Wilayah, Operasi Antarabangsa Malaysia & Brunei Schneider Electric pula berkata Malaysia dirahmati dengan tenaga kerja berbakat yang pelbagai, kesediaan digital yang hebat untuk menyokong inovasi dan komitmen syarikat mereka terhadap kecekapan serta kelestarian.

Dato’ Peter Halm, Naib Presiden & Ketua Pegawai Kewangan Infineon Technologies (Kulim) Sdn. Bhd. kekal yakin dengan persekitaran ekonomi yang baik di Malaysia kerana ia memudahkan mereka menyediakan kemudahan, mengambil pekerja dan latihan bakat yang berkemahiran.

Selain itu, antara fungsi MITI adalah untuk memastikan ekosistem perniagaan yang kondusif bagi memudahkan urusan perdagangan dan pelaburan. Infineon telah melabur lebih dari RM20 bilion di Melaka dan Kulim serta akan menambah lebih dari setengah bilion ringgit setiap tahun pada masa hadapan. Beliau juga percaya setelah hampir 50 tahun Infineon di Malaysia, mereka akan terus menyokong perlindungan pekerjaan untuk 12,000 rakyat Malaysia.

Pengarah Urusan & CEO Standard Chartered Malaysia pula mengakui selepas 146 tahun menjadikan Malaysia sebagai hab, mereka tetap mempunyai keyakinan utuh terhadap sistem kewangan Malaysia yang kukuh, progresif dan inklusif. Menjadi bank pertama bertapak di Malaysia sejak 1875, Standard Chartered kini mempunyai lebih daripada 8,000 pekerja di sini.

Porsche pula pada September lalu telah mengumumkan pelaburan mereka di Malaysia hasil usaha sama dengan Sime Darby. Detlev Von Platen, Ahli Lembaga Eksekutif Pemasaran dan Penjualan Porsche berkata Malaysia merupakan pusat yang penting di rantau ASEAN bagi mereka dan pelaburan mereka di sini adalah langkah strategik untuk manfaat jangka masa panjang.

Jika nak tahu lebih banyak maklum balas pelabur asing di Malaysia bolehlah layari www.miti.gov.my. Pada masa yang sama jangan lupa untuk terus mematuhi SOP agar keseimbangan perlindungan kesihatan dan ekonomi dapat terus direalisasikan. Sebagai peringatan, kami saran anda menonton video muzik ini.

 

 

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.