Keterujaan penonton menyaksikan persembahan bertukar cemas apabila seorang pemain akrobatik secara tiba-tiba hilang keseimbangan semasa berjalan di atas tali sebelum terjatuh dari atas.
Mangsa, Makhmud Suanbekov, 33, jatuh ke dalam gelanggang sarkas setinggi 24 kaki sewaktu dia sedang mengimbangi ibunya, Sairakan Suanbekova, 56, di atas kepala semasa membuat persembahan di hadapan penonton di Rusia, lapor Daily Mail.
Namun apa yang mengejutkan, lelaki itu tidak mengalami sebarang kecederaan tulang walaupun sudah terjatuh pada ketinggian tersebut.
“Selepas terjatuh, pemain akrobatik itu masih boleh berjalan walaupun terencut-encut,” kata satu kenyataan menerusi Daily Mail.
Sejurus terjatuh, mangsa diberikan bantuan pertolongan cemas dan dikejarkan ke hospital manakala ibu mangsa diselamatkan oleh tali keselamatan pada saat lelaki tersebut jatuh ke gelanggang sarkas.
Ahli-ahli sarkas yang lain mengatakan bahawa kejadian ngeri itu sesuatu yang ajaib kerana mangsa tidak mengalami kecederaan yang serius seperti retak tulang.
Difahamkan, abang kepada mangsa yang juga merupakan ahli akrobatik pernah berdepan kejadian yang sama tetapi mengalami kecederaan yang parah hingga mengambil masa hampir setahun untuk pulih.
Sumber: Daily Mail