TEMERLOH, 29 Dis (Bernama) — Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akan menggantikan sijil nikah, cerai dan rujuk mangsa banjir secara percuma, dengan permohonan bagi menggantikan sijil-sijil berkenaan boleh dibuat di 14 pejabat agama daerah tanpa perlu membuat janji temu bermula Isnin ini.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kira-kira 10,000 keluarga Islam berdepan risiko kemusnahan dokumen penting termasuk sijil berkenaan selepas rumah mereka terjejas akibat banjir besar yang melanda Pahang sejak 17 Dis lepas.
Beliau berkata inisiatif itu akan dijalankan selama dua bulan, dan ia dijangka melibatkan penggantian sejumlah 8,000 sijil nikah, 1,500 sijil cerai dan 500 sijil rujuk.
“Kebiasaannya caj bayaran yang dikenakan bagi carian dan salinan dokumen ialah RM20 bagi setiap satu, namun kali ini ia diberikan secara percuma bagi meringankan beban mangsa banjir memandangkan dokumen ini penting untuk urusan masa depan mereka yang berkenaan,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian semasa ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bencana FGV Holdings Bhd sebanyak RM250,000 yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Mohd Nazrul Izam Mansur di Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh.
— BERNAMA