Siakap Keli
Kredit: Google

Penyelia Jurukimpal Maut Dalam Kebakaran Tongkang

GEORGE TOWN, 28 Dis (Bernama) — Seorang penyelia jurukimpal meninggal dunia manakala lima jurukimpal mengalami kecederaan ringan selepas sebuah tongkang yang sedang mereka baiki meletup sebelum terbakar dalam kejadian di Gat Lebuh Macallum, Pengkalan Weld, di sini hari ini.

Dalam kejadian pada 10.45 pagi itu, Yaser Abdullah, 60, yang mengalami kecederaan parah akibat melecur, dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 2 petang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Saadon Mokhtar berkata jentera pertama tiba di lokasi kejadian 10 minit selepas menerima panggilan kecemasan dan mendapati enam lelaki, berumur 35 hingga 72 tahun, terlibat dalam kebakaran yang melibatkan sebuah tongkang kosong.

Beliau berkata tongkang tersebut dipercayai meletup terlebih dahulu dan gegaran letupan itu dirasai dalam radius dua kilometer sebelum terbakar.

“Siasatan awal mendapati letupan kuat itu berpunca daripada satu bahagian yang berada di bawah tempat kumpulan lelaki itu sedang melakukan kerja-kerja pembaikan dan pemotongan, sehingga mereka terpelanting beberapa meter,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Saadon berkata pihaknya percaya letupan itu berlaku akibat simpanan gas atau wap gas masih ada dalam bahagian tersebut sehingga berlaku percikan api dan meletup.

“Api dapat dikawal pada 11.08 pagi dan dipadamkan sepenuhnya kira-kira 20 minit kemudian, kebakaran itu melibatkan sebuah tongkang berkeluasan 445 meter persegi dengan anggaran peratusan kemusnahan kira-kira 20 peratus,” katanya.

Pihaknya turut menasihati pihak pengurusan supaya mengambil langkah yang lebih berhati-hati semasa bekerja terutama apabila melibatkan bahagian berbahaya di dalam tongkang.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.