Siakap Keli
Gambar via Gulf News

Arab Saudi Laksanakan Semula Penjarakan Fizikal Di Masjidil Haram & Masjid Nabawi Mulai Hari Ini

Kerajaan Arab Saudi kini melaksanakan semula peraturan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi setelah hampir dua bulan memberi kelonggaran, sejak Oktober lalu.

Memetik laporan Saudi Gazette, Presidensi Umum yang menguruskan hal ehwal dua masjid suci berkenaan memutuskan untuk melaksanakan semula prosedur penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka mandatori berkuatkuasa jam 7 pagi tadi (waktu tempatan).

Presidensi Umum dalam satu kenyataan berkata, pengunjung harus menjarakkan sejadah untuk menunaikan solat di dua masjid suci itu, sementara jemaah umrah perlu menjaga jarak fizikal semasa melakukan tawaf sebagai langkah mencegah penularan wabak dan menjamin keselamatan jemaah.

Kesemua jemaah dan pekerja di dua masjid utama di Mekah dan Madinah itu turut diarahkan untuk masuk ke masjid berkenaan mengikut masa yang ditetapka ndalam permit umrah dan solat yang dikeluarkan oleh aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna.

Pada Rabu, kerajaan Arab Saudi turut mengumumkan perlaksanaan semula peraturan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di semua kawasan tertutup dan terbuka negara itu, juga berkuat kuasa hari ini.

Keputusan tersebut diambil sebagai langkah baharu bagi mencegah penularan varian Omicron di negara itu.

Sumber: Saudi Gazette

Eyla Azri