Sebanyak 9 juta pil amphetamine Captagon berjaya dirampas dalam satu operasi oleh agensi berkuasa Lubnan di pelabuhan Beirut semalam, lapor Al-Jazeera.
Menurut portal itu, pil-pil tersebut telah dimuatkan ke dalam buah-buahan oren plastik yang bakal diseludup ke sebuah negara teluk yang tidak dinamakan.
Menteri Dalam Negeri, Bassam Mawlawi berkata, mereka tidak dapat mendedahkan maklumat suspek yang ditahan. Bagaimanapun, siasatan akan dijalankan bagi mengetahui lokasi pil tersebut dihasilkan dan dalang penyeludupan.
“Kami berjanji pada rakyat dan semua negara-negara jiran, terutamanya negara-negara teluk, pihak berkuasa Lubnan serius menentang penyeludupan ini,” katanya.
April lalu, pihak berkuasa Arab Saudi telah mengumumkan sekatan ke atas produk agrikultur dari Lubnan selepas mereka berjaya menemukan 5.3 juta pil Captagon tersorok bersama buah-buah delima yang diimport ke negara itu melalui pelabuhan Jeddah.
Sumber: Al-Jazeera