Siakap Keli
Gambar via Bernama

Pengarah Teknikal Baharu FAM Bakal Diketahui Rabu Ini

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) — Individu yang akan mengisi kekosongan jawatan Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal diumumkan Rabu ini.

Perkembangan tersebut disahkan Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar selepas pengumuman mengenai pelantikan ditunggu-tunggu dan sepatutnya dibuat esok, tidak dapat dilakukan.

Beliau berkata kelewatan itu disebabkan individu tersebut kini sedang menjalani proses kuarantin di ibu negara.

“Insya-Allah pada 5 hari bulan (Januari) 3 petang (pengumuman dibuat) kerana pegawai berikut sedang menjalani kuarantin, jadi kita tunggu saja penampilannya nanti,” katanya ketika ditemui pada final Kejohanan Bola Sepak Wanita Kuala Lumpur (KLWFC) 2021 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras, malam ini.

Mohd Saifuddin turut enggan mengulas ketika ditanya mengenai jurulatih kelahiran Australia Scott O’Donell yang dikaitkan dengan jawatan itu.

“Saya tak boleh nak komen, kena tunggu sampai 5 Jan dan saya pun tak boleh jawab sama ada beliau orang tempatan atau luar,” katanya.

Pada September lepas, Datuk Ong Kim Swee yang dilantik sebagai Pengarah Teknikal FAM pada 1 Jan 2021, mengumumkan peletakan jawatan susulan menerima tawaran sebagai ketua jurulatih pasukan Liga Super Sabah FC.

Selain menyediakan pelan dan memantau perkembangan semasa jurulatih, Pengarah Teknikal turut berperanan memastikan pasukan kekal bermain mengikut falsafah ditetapkan yang akan meningkatkan keupayaan teknikal pemain supaya dapat mencapai potensi mereka.

Sementara itu, pasukan Dinolove FC muncul juara sulung KLWFC selepas menewaskan KL Sunbears 1-0 dengan penyerang, Henrietta Justine muncul wira pasukan menerusi gol kemenangan yang dijaringkan pada minit ke-24.

Henrietta turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik perlawanan akhir itu.

Antara hadir menyaksikan perlawanan final itu adalah Pengarah Urusan Arcadin Services Sdn Bhd Datuk Che Azizuddin Che Ismail selaku penganjur, Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM Datuk Suraya Yaacob, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur Nokman Mustaffa dan Pengurus Teknikal Bola Sepak Wanita FAM Jacob Joseph.

Sumber: Bernama

Eyla Azri