Siakap Keli

Indeks Perdagangan Luar Negeri, Malaysia, November 2021

PUTRAJAYA, 4 JANUARI 2022 – Indeks nilai seunit eksport dan import bulanan Malaysia masing-masing mencatatkan pertumbuhan positif 1.3 peratus dan 1.0 peratus pada November 2021, sebagai mana dipaparkan oleh laporan INDEKS PERDAGANGAN LUAR NEGERI (2010=100), NOVEMBER 2021 pada hari ini.  

Penerbitan ini memaparkan statistik indeks nilai seunit dan indeks volum mengikut  seksyen bagi eksport dan import barangan. 

Jumlah perdagangan Malaysia merekodkan prestasi menaik, meningkat 1.5 peratus pada  November 2021 berbanding bulan sebelumnya. Nilai eksport menyusut 1.9 peratus  kepada RM112.2 bilion pada bulan yang sama, disumbangkan oleh kejatuhan eksport  barang-barang keluaran kilang (-12.3%), bahan mentah tidak boleh dimakan (-4.7%) dan  alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-4.3%). Sementara itu, nilai import meningkat  5.9 peratus bulan ke bulan pada November 2021, dengan nilai RM93.3 bilion.  Peningkatan ini disumbangkan oleh kenaikan import barang-barang keluaran kilang (+12.8%), bahan kimia (+12.6%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+4.8%).  Nilai perdagangan pula menyusut 28.1 peratus bulan ke bulan, dengan nilai RM18.9 bilion. 

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, “Indeks nilai seunit eksport meningkat 1.3 peratus pada November 2021 berbanding bulan  sebelumnya, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+5.4%), minyak & lemak  binatang & sayur-sayuran (+1.1%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+0.4%).  Sementara itu, indeks volum eksport menyusut 3.2 peratus pada bulan yang sama,  disumbangkan oleh kejatuhan indeks barang-barang keluaran kilang (-12.1%), alat jentera  & kelengkapan pengangkutan (-4.7%) dan minyak galian (-3.5%). Indeks volum eksport  pelarasan bermusim bertumbuh 6.3 peratus daripada 152.6 mata kepada 162.2 mata. 

Berdasarkan perbandingan tahunan, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport  masing-masing meningkat 16.8 peratus dan 13.5 peratus.” 

Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata “Indeks nilai seunit import turut meningkat 1.0 peratus pada November 2021 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kenaikan  indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+10.3%), minyak galian (+4.5%) dan  alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+0.4%). Indeks volum import turut meningkat  4.8 peratus pada November 2021 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh  kenaikan indeks barang-barang keluaran kilang (+12.6%), bahan kimia (+12.4%) dan alat  jentera & kelengkapan pengangkutan (+4.4%). Indeks volum import pelarasan bermusim  pada November 2021 berkembang 5.8 peratus daripada 159.5 mata kepada 168.7 mata.  Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing meningkat 8.7 peratus dan 27.1 peratus.” 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut melaporkan terma perdagangan Malaysia  mencatatkan pertumbuhan 0.3 peratus bulan ke bulan kepada 107.0 mata pada November  2021. Prestasi terma perdagangan Malaysia kekal positif 7.5 peratus daripada 99.6 mata  pada November tahun lalu. 

Jabatan Perangkaan Malaysia sedang menjalankan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi  Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 bermula dari 1 Januari 2022 sehingga 31  Disember 2022.

Dikeluarkan oleh: 

PEJABAT KETUA PERANGKAWAN MALAYSIA 

JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA 

4 JANUARI 2022

Siti Fatimah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.