Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menafikan segala tuduhan terhadapnya berkaitan isu saham dan memaklumkan bahawa adiknya telah menggunakan akaun sahamnya untuk kepentingan sendiri tanpa melibatkannya.
Menurutnya, tuduhan sesetengah pihak yang mendakwa bahawa berlakunya conflict of interest tidak berasas.
“Saya ingin menegaskan bahawa dalam isu saham, saya tidak melakukan sebarang kesalahan dan tuduhan yang mengatakan terdapat conflict of interest seperti mana yang didakwa oleh sesetengah pihak adalah tidak berasas.
“Saya telah menjelaskan kepada panel Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun saya digunakan oleh adik saya untuk kepentingan beliau dan saya tiada kepentingan ke atas saham-saham yang dibeli itu.
“Saham-saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adik saya menggunakan pembiayaannya dan saham-saham syarikat yang dibeli olehnya tiada kaitan dengan siasatan oleh SPRM.
“Kesemua saham-saham tersebut kemudiannya telah dipindahkan ke akaun saham beliau,” katanya dalam sidang media khas SPRM di Putrajaya hari ini.
Menerusi sidang media itu, beliau juga menafikan tuduhan yang mendakwa dirinya mengawal banyak syarikat di bawahnya dan mengatakan bahawa ia merupakan satu pembohongan yang direka untuk menjejaskan reputasinya.
“Mengenai tuduhan yang mendakwa saya mengawal banyak syarikat adalah satu pembohongan besar oleh pihak-pihak tersebut bagi menunjukkan persepsi negatif terhadap saya.
“Ia digambarkan seolah-olah saya mengawal satu konglomerat yang besar di bawah saya. Ia direka-reka cerita dengan sengaja untuk menjatuhkan reputasi saya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini kerana ini merupakan perbuatan yang berniat jahat,” katanya.
Susulan itu, beliau juga telah membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menjatuhkan reputasinya dan SPRM.
Sumber: Live Berita RTM