Siakap Keli
Gambar: Getty Images/imageBROKER RF via Mirror UK

Antibodi Jerung Didakwa Mampu Halang Penularan Wabak Covid-19 Di Masa Depan – Saintis

Wabak pandemik yang boleh menjangkiti manusia pada masa hadapan didakwa boleh dihalang dengan antibodi kecil yang ditemui di dalam jerung, menurut saintis memetik laporan Mirror UK.

Menurut laporan, para saintis dari Universiti Wisconsin telah menemui protein kecil di dalam darah pemangsa laut tersebut yang mereka percayai boleh menghentikan SARS-CoV-2 serta variannya daripada terus menjangkiti sel manusia.

Oleh itu, antibodi ini dikatakan sekaligus dapat membantu saintis di seluruh dunia untuk bersiap sedia dalam menghadapi wabak pandemik pada masa hadapan.

Protein ini dikenali sebagai reseptor antigen boleh ubah (VNAR) dan protein yang terdapat dalam jerung itu adalah kira-kira 1/10 daripada saiz yang dijumpa pada manusia.

Ahli patologi Universiti Wisconsin-Madison yang juga pengarang kajian, Aaron LeBeau dalam satu kenyataan berkata: “Isu besarnya ialah terdapat sejumlah virus corona yang telah bersedia untuk menyerang manusia.

“Apa yang kami lakukan adalah dengan menyediakan senjata terapeutik VNAR jerung yang boleh diguna pakai untuk menghalang wabak SARS pada masa hadapan.

“Kami berfikiran bahawa kajian ini bakal menjadi sesuatu yang besar kelak. Ini adalah kertas kajian pertama yang menunjukkan keberkesanan mereka (protein) untuk melawan penyakit berjangkit.

“Protein kecil seperti antibodi ini boleh masuk ke celahan yang tidak dapat diakses oleh antibodi manusia.

”Protein ini juga mampu membentuk geometri yang sangat unik, ianya mampu mengenali struktur dalam protein di mana tidak dapat dilakukan oleh antibodi manusia,” katanya.

Saintis di universiti itu berkata, VNAR jerung berjaya meneutralkan WIV1-CoV, coronavirus yang mampu menjangkiti sel manusia tetapi kni ditemui pada kelawar.

Ia juga didapati memberi tindak balas yang baik dalam melawan SARS-CoV-1 yang merupakan wabak SARS pertama pada tahun 2003.

Kajian yang dijalankan oleh universiti tersebut bersama ahli akademik dari Universiti Minnesota serta syarikat bioperubatan Scotland Elasmogen ini diharapkan dapat membantu dalam mencari cara untuk membina imuniti terhadap virus tanpa pemberian vaksin kepada berbillion manusia.

Ketua Pegawai Eksekutif Elasmogen, Cariline Barelle berkata, “Apa yang menariknya adalah molekul ubat baharu yang berpotensi melawan SARS-CoV-2 ini mempunyai perbezaan dari segi mekanisma tindakannya berbanding biologi dan antibodi lain yang menyasarkan virus itu.”

Sumber: Mirror UK

Faiz Mustafa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.