Siakap Keli
Gambar via Bernama

Perlis Jadi Negeri Pertama Benarkan Amalan Rapatkan Saf Solat Berjemaah Secara Bersyarat

Setelah mengambil kira perkembangan semasa COVID-19 di negeri Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail telah memperkenankan amalan merapatkan saf solat berjemaah secara bersyarat di masjid-masjid seluruh Perlis.

Menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini, kebenaran tersebut berkuatkuasa bermula waktu Subuh pada 8 Januari 2022 sehingga ke satu tarikh yang bakal dimaklumkan.

Para jemaah diwajibkan merapatkan saf ketika menunaikan solat dengan kadar jarak sejadah masing-masing berdasarkan syarat yang telah diselaraskan iaitu saiz sejadah mengikut saiz standard serta tidak berlaku sentuhan fizikal.

Pun begitu, jemaah yang tinggal serumah adalah diwajibkan merapatkan saf tanpa terikat dengan syarat-syarat yang dinyatakan di atas.

Selain itu, jemaah juga perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada pada setiap masa. SOP yang telah ditetapkan termasuk:

  • Kekal melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter
  • Memakai pelitup separuh muka (digalakkan jenis N95 atau K95 serta memakai dua pelitup muka, ditambah baik dengan pemakaian pelindung muka atau face shield)
  • Membawa sejadah sendiri bersaiz standard
  • Mengambil wuduk sebelum ke masjid
  • Mengimbas suhu badan dan melaksanakan rekod penjejakan sosial (mengimbas kod QR MySejahtera atau mendaftar pada buku yang disediakan). Pematuhan terhadap SOP ini adalah diperketatkan
  • Tidak dibenarkan sebarang bentuk sentuhan fizikal seperti bersalaman

Jelas MAIPs, hanya jemaah yang menerima suntikan vaksin lengkap sahaja dibenarkan hadir ke masjid, sama ada jemaah dewasa, kanak-kanak ataupun warga emas.

Walaupun melangkapi syarat-syarat yang ditetapkan di atas, pegawai bertugas serta jemaah tetap dilarang untuk hadir ke masjid sekiranya termasuk dalam golongan berstatus PUI (Person Under Investigation), PUS (Person Under Surveillance) dan mereka yang memiliki risiko untuk dijangkiti.

Tambah MAIPs, golongan yang mempunyai gejala seperti demam, sesak pernafasan, sakit tekak, selesema dan sebagainya juga tidak dibenarkan hadir ke masjid.

Sementara itu, semua aktiviti pengimarahan seperti kuliah, ceramah termasuk jamuan adalah dibenarkan dengan pematuhan SOP Kesihatan dan Keselamatan yang berkuatkuasa.

Menurut MAIPs, semua masjid di seluruh Perlis adalah tertakluk kepada arahan SOP ini manakala surau atau tempat solat umum kekal tidak dibuka. Larangan berkenaan termasuk kepada Agensi, Institut, Parti, Maahad Tahfiz dan sebagainya kecuali dengan kebenaran MAIPs, melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

Gambar: MAIPs
Gambar: MAIPs

Sumber: MAIPs

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.