GEORGE TOWN, 6 Jan – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menubuhkan unit pengurusan bencana di negeri itu bagi menguruskan sebarang insiden bencana alam akibat krisis iklim yang melanda negeri itu pada masa hadapan.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata keputusan untuk menubuhkan unit baharu itu dibuat pada mesyuarat Exco kerajaan negeri semalam dan unit tersebut akan diselia oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.
“Kami merasakan unit pengurusan bencana ini amat diperlukan sekarang bagi menggembleng usaha dan kerjasama antara semua pihak, berikutan situasi banjir yang melanda beberapa negeri sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
“Kerajaan negeri juga telah mengarahkan agensi-agensi berkaitan untuk memperkasakan pelan tindakan bencana sebagai persiapan rapi untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan insiden bencana alam termasuk krisis iklim,” katanya semasa berucap pada upacara pengakuan penerimaan jawatan Ahli-Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar negeri Jagdeep Singh Deo dan Datuk Bandar MBPP Datuk Yew Tung Seang.
Mengulas lanjut, Chow berkata di bawah unit baharu itu, semua tenaga kerja daripada pihak kerajaan sehingga sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, komuniti setempat, masyarakat dan individu boleh digerakkan bersama untuk berkhidmat sebagai satu pasukan yang padu bagi menangani krisis iklim global.
“Kami (kerajaan Pulau Pinang) mahu memberi penekanan kepada unit pengurusan bencana itu rentetan daripada insiden bencana alam yang luar biasa khususnya banjir melanda di beberapa negeri baru-baru ini.
“Kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang iaitu MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan menjadi anggota penting dalam unit baharu itu dalam pengendalian bencana di negeri ini pada masa hadapan,” katanya.
Terdahulu pada majlis itu, seramai 24 Ahli Majlis MBPP mengangkat sumpah dan mereka berperanan sebagai penghubung antara kerajaan negeri dengan rakyat terutama sebagai barisan hadapan dalam perundingan untuk menangani aduan awam dengan pantas.
Sumber: BERNAMA