Zaman kanak-kanak tidak akan meriah tanpa dihiasi dengan rancangan TV, kartun dan patung mainan yang menarik. Sehingga ke hari ini, ada beberapa rancangan Tv terdahulu yang masih lagi digemari dan ditonton oleh orang ramai. Bak kata peribahasa, tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.
Salah satunya adalah rancangan Barbie yang sangat digemari terutamanya kanak-kanak perempuan dan lebih mengujakan, rancangan itu sebenarnya bermula daripada penciptaan koleksi patung mainan Barbie yang sangat popular hingga ke hari ini.
Pun begitu, korang tahu tak Barbie tu sebenarnya hanya nama pendek saja. Rupa-rupanya nama penuh Barbie adalah singkatan daripada Barbara Millicent Roberts. Nak tahu sejarah nama penuhnya? Jom ikuti perkongsian di bawah ini.

Sejarah Barbie
Untuk pengetahuan, patung mainan Barbie telah dicipta oleh ahli perniagaan wanita dari Amerika Syarikat, Ruth Handler dan dikeluarkan oleh syarikat yang diasaskannya bersama suami, Mattel Inc pada tahun 1959.
Difahamkan, idea untuk mencipta Barbie timbul selepas Ruth Handler menyedari bahawa anak perempuannya sangat suka bermain dengan patung kertas yang menyerupai orang dewasa. Disebabkan itu, dia tidak mencipta patung yang kelihatan seperti kanak-kanak.
Nama penuh patung itu pula telah diberikan sempena nama penuh anak perempuannya , Barbara Millicent Roberts. Sama juga dengan anak patung Ken yang telah ditambah dalam koleksi Barbie, ia dinamakan sempena nama anak pasangan itu, Kenneth.
Bermula dari detik itu, mereka telah mencipta kisah fiksyen berkaitan patung Barbie yang diceritakan dalam siri novel yang diterbitkan pada tahun 1960-an.
Menerusi novel itu, Barbie dijadikan sebagai pelajar sekolah menengah dari sebuah bandar fiksyen di Wisconsin. Dia mempunyai ibu bapa iaitu Margaret dan Georger Roberts, sementara Ken pula adalah teman lelakinya.
Tidak cuma itu, Barbie juga diinspirasikan daripada anak patung dari Jerman, Bild Lilli yang dicipta oleh Max Weisbrodt dan dikeluarkan oleh Greiner & Hausser Gmbh.

Pakaian pertama Barbie
Salah satu faktor yang menyebabkan kanak-kanak perempuan sangat suka terhadap Barbie ialah kerana pakaiannya.
Bagi yang belum tahu, Barbie edisi pertama telah memakai pakaian renang berjalur seperti zebra dan rambut berwarna perang atau coklat. Pakaian itu telah direka oleh Charlotte Johnson dan dijahit tangan di Jepun.
Dengan pakaian yang unik ini, patung Barbie telah pertama kali dilihat di Pameran Mainan Antarabangsa Amerika pada tahun 1959di New York.
Sumber: ThoughtCo, Business Insider