Gempa bumi dengan magnitud 6.9 dilaporkan telah melanda wilayah Qinghai barat laut China pada Sabtu lalu. Walaupun tiada kematian yang dicatatkan namun ianya telah memberi kesan keretakan kepada beberapa bangunan dan kawasan di wilayah itu.
Bagaimanapun, tular sejak semalam mengenai satu rakaman yang memaparkan pancaran cahaya misteri yang didakwa muncul sebelum berlakunya gempa tersebut.
Memetik laporan Sputnik, cahaya seakan kilat terang itu muncul beberapa saat sebelum gegaran tetapi ketulenan video itu masih belum disahkan.
Sementara itu, ramai pengguna media sosial yang mengatakan bahawa CCTV itu berkemungkinan besar telah merakam letupan di pencawang elektrik yang berada tidak jauh dari situ. Gegaran bawah tanah dikatakan sampai agak lambat sehingga memperlihatkan kilat tersebut berlaku terlebih dahulu sebelum gegaran.
Menurut Pusat Seismologi Mediterranean Eropah (EMSC), seramai lapan orang dilaporkan telah mengalami kecederaan dalam kejadian gempa itu tetapi mereka sudah dibenarkan keluar dari hospital.
Di samping itu, gegaran juga dipercayai telah menyebabkan sebahagian Tembok Besar China runtuh dalam kejadian itu.
Sumber: Sputnik