Hari Jumaat atau penghulu segala hari merupakan hari yang mulia bagi umat Islam dan mempunyai banyak kelebihan. Oleh itu, umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan amalan pada hari istimewa ini seperti berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
Namun begitu, timbul persoalan adakah benar terdapat hadis bahawa sesiapa yang berselawat ke atas Nabi SAW pada hari Jumaat sebanyak seratus kali, Allah akan tunaikan 100 hajatnya.
Oleh itu, Mufti Wilayah Persekutuan melalui laman web rasmi tampil memberi penjelasan terhadap isu ini. Ikuti penjelasan Mufti di bawah.
Soalan:
Assalamualaikum ustaz. Saya ada persoalan. Saya pernah dengar seorang ustaz menyebut sesiapa yang berselawat ke atas Nabi SAW pada hari Jumaat sebanyak seratus kali, Allah akan tunaikan 100 hajatnya. 70 hajat di dunia dan 30 hajat di dunia. Adakah benar ada hadis ini ustaz? Maaf kalau pertanyaan saya ini tidak menyenangkan ustaz.
Ringkasan jawapan:
Hadis ini diriwayatkan dalam beberapa kitab hadis. Antaranya di dalam al-Targhīb wa al-Tarhīb oleh Qawam al-Sunnah (m.535 H) melalui jalur riwayat Ibrahim bin Muhammad bin Ishak. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqī (m. 458 H) di dalam Syu’ab al-Iman , Faḍail al-Awqāt dan Hayāt al-Anbiyā fi Qubūrihim melalui jalur riwayat Muhammad bin Ismail bin Salim al-Ṣāigh Kedua-dua jalur tersebut bertemu pada paksi (madar) yang sama iaitu Hakkamah binti Uthman bin Dīnār daripada ayah beliau, Uthman bin Dīnār daripada Malik bin Dīnār daripada Anas bin Malik daripada Nabi SAW.
Hadis ini terlalu lemah disebabkan beberapa sebab, antaranya :
- Terdapat dua perawi yang bermasalah iaitu Hakkamah binti ‘Uthman bin Dīnār dan ayah beliau, ‘Uthman bin Dīnār. Kedua-duanya adalah perawi yang tidak memiliki kredibiliti dalam periwayatan hadis. Bahkan al-‘Uqailī menyebutkan bahawa Hakkamah sering meriwayatkan hadis-hadis batil yang tiada asalnya daripada ayah beliau.
- Hadis ini diriwayatkan secara tafarrud (bersendirian). Hal ini kerana tiada jalur lain yang menyokong riwayat Hakkamah binti ‘Uthman bin Dīnār.
Walaupun hadis ini terlalu lemah, ia tidak menafikan kelebihan berselawat kepada Nabi SAW pada hari Jumaat seperti yang terdapat dalam riwayat-riwayat yang sahih.
Huraian jawapan
Teks (matan) hadis tersebut adalah seperti berikut :
من صلى علي يوم جمعة وليلة جمعة مائة من الصلاة، قضى الله له مائة حاجة: سبعين من حوائج الآخرة، وثلاثين من حوائج الدنيا، ووكل الله بذلك ملكاً يدخله على قبري كما يدخل عليكم الهدايا، إن علمي بعد موتي كعلمي في الحياة
Maksudnya: “Sesiapa yang berselawat ke atas aku pada hari Jumaat dan malam Jumaat sebanyak 100 kali selawat, Allah akan memperkenankan baginya 100 hajat. 70 daripadanya hajat akhirat dan 30 daripadanya adalah hajat dunia. Allah akan mengutuskan malaikat dengan selawat tersebut di mana dia akan masukkannya ke kubur saya sepertimana hadiah yang diberikan kepada kalian. Sesungguhnya pengetahuan saya selepas mati sama seperti pengetahuan saya ketika hidup.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA. Hadis ini diriwayatkan dalam beberapa kitab hadis. Antaranya di dalam al-Targhīb wa al-Tarhīb oleh Qawam al-Sunnah (m.535 H) melalui jalur riwayat Ibrahim bin Muhammad bin Ishak. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqī (m. 458 H) di dalam Syu’ab al-Iman, Faḍail al-Awqāt dan Hayāt al-Anbiyā fi Qubūrihim melalui jalur riwayat Muhammad bin Ismail bin Salim al-Ṣāigh Kedua-dua jalur tersebut bertemu pada paksi (madar) yang sama iaitu Hakkamah binti Uthman bin Dīnār daripada ayah beliau, Uthman bin Dīnār daripada Malik bin Dīnār daripada Anas bin Malik daripada Nabi SAW.
Dalam riwayat Muhammad bin Ismail bin Salim al-Ṣāigh menyebut bahawa Hakkamah bin Uthman bin Dīnār meriwayatkan daripada Anas RA. Dalam riwayat yang sama juga Muhammad bin Ismail menyebut bahawa Hakkamah bin ‘Uthman meriwayatkan daripada ayah beliau, ‘Uthman bin Dīnār daripada Malik bin Dīnār daripada Anas bin Malik RA.
Akan tetapi, riwayat Malik bin Dinar adalah lebih tepat kerana Hakkamah binti ‘Uthman tidak pernah bertemu dengan Anas bin Malik apatahlagi meriwayatkan hadis daripadanya. Dalam riwayat ini hanya Malik bin Dinar yang pernah bertemu Anas bin Malik.
Ibrahim bin Muhammad bin Ishak adalah perawi yang berasal dari Baṣrah. Beliau merupakan perawi yang thiqah (dipercayai kredibilitinya dalam periwayatan hadis). Hal ini disebutkan oleh Ibn Hibban dalam kitab beliau al-Thiqāt.
Sementara Muhammad bin Ismail al-Ṣāigh adalah tokoh hadis yang berasal daripada Mekah. Menurut Ibn Abi Hatim (m.327 H) beliau adalah seorang perawi saduq. Ibn Kharrasy, Abdurrahman bin Yusuf (m. 208 H) menjelaskan :
هُوَ من أهل الفهم والأمانة
“Beliau adalah dari kalangan ulama yang mempunyai kefahaman dan amanah.”
Hakkamah binti ‘Uthman bin Dīnār adalah seorang perawi yang dipertikaikan oleh para ulama hadis. Al-‘Uqailī menjelaskan bahawa beliau banyak meriwayatkan hadis-hadis yang batil yang tiada asal usul daripada ayahnya.
‘Uthman bin Dīnār juga adalah antara perawi yang tidak terlepas daripada kritikan. Imam al-Zahabi mengatakan bahawa beliau adalah perawi yang tiada kelayakan dalam periwayatan hadis. Penilaian yang dikemukakan oleh Imam al-Zahabi ini turut dipersetujui oleh Ibn Hajar al-Asqalanī (m.852 H).
Malik bin Dīnār adalah saudara kepada ‘Uthman bin Dīnār. Beliau adalah perawi yang thiqah. Hal ini dinyatakan oleh Imam al-Nasa’ī. Beliau adalah antara perawi yang dimuatkan oleh Imam al-Tirmizi dan al-Nasa’ī dalam kitab mereka.
Justeru, hadis ini terlalu lemah disebabkan beberapa sebab, antaranya:
- Terdapat dua perawi yang bermasalah iaitu Hakkamah binti ‘Uthman bin Dīnār dan ayah beliau, ‘Uthman bin Dīnār. Kedua-duanya adalah perawi yang tidak memiliki kredibiliti dalam periwayatan hadis. Bahkan al-‘Uqailī menyebutkan bahawa Hakkamah sering meriwayatkan hadis-hadis batil yang tiada asalnya daripada ayah beliau.
- Hadis ini diriwayatkan secara tafarrud (bersendirian). Hal ini kerana tiada jalur lain yang menyokong riwayat Hakkamah binti ‘Uthman bin Dīnār.
Walaupun hadis ini terlalu lemah, ia tidak menafikan kelebihan berselawat kepada Nabi SAW pada hari Jumaat. Antaranya hadis yang dinukilkan oleh Imam al-Baihaqi di dalam kitab al-Sunan al-Kubrā bahawa Nabi SAW bersabda:
أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ؛ فَإِنَّ صَلَاةَ أُمَّتِي تُعْرَضُ عَلَيَّ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ، فَمَنْ كَانَ أَكْثَرَهُمْ عَلَيَّ صَلَاةً كَانَ أَقْرَبَهُمْ مِنِّي مَنْزِلَةً
Maksudnya: Perbanyakkan berselawat ke atas saya pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat umat saya dibentangkan kepada saya pada setiap hari Jumaat. Sesiapa yang paling banyak berselawat kepada saya, dia adalah orang yang paling hampir kedudukannya dengan saya.”
Kesimpulannya, walaupun hadis yang dikemukakan berkait ganjaran 100 hajat bagi mereka yang berselawat 100 kali pada hari Jumaat terlalu lemah, namun ia tidak menafikan amalan berselawat ke atas Rasulullah SAW pada penghulu hari mempunyai kelebihan seperti yang terdapat dalam riwayat-riwayat yang sahih.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan