Siakap Keli
Kredit : thescottishsun.co.uk

Bertujuan Memalukan Pelaku, Arab Saudi Arah Nama Pesalah Seksual Disiarkan Di Akhbar

Mahkamah Arab Saudi dilapor mengarahkan nama pesalah gangguan seksual didedahkan melalui akhbar, lapor Yahoo! News.

Langkah berkenaan adalah kali pertama diambil bertujuan untuk memalukan pelaku yang didapati bersalah dan melindungi maruah wanita di khalayak ramai.

Menurut laporan Saudi Gazette, selain namanya didedah, mahkamah jenayah di Madinah telah menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap seorang lelaki yang melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita pada Ahad lalu.

Pesalah tersebut didakwa dikenakan denda sebanyak 5,000 riyal (RM5, 567.70) dan butiran kesnya akan disiarkan dalam akhbar tempatan.

Pihak mahkamah dikatakan boleh mengarahkan nama pesalah disiarkan secara terbuka melalui undang-undang anti-gangguan negara yang telah dikemaskini pada Januari 2021 dan diluluskan melalui perkenan titah raja pada 2018.

Berdasarkan laporan, negara tersebut melalui beberapa perubahan sosial yang pesat selepas berada di bawah pemerintahan Putera Mahkota Mohammed bin Salman sejak 2017.

Antaranya, kebenaran wanita memandu dan menyertai pasukan tentera pada tahun 2018 dan wanita bebas melakukan apa-apa sahaja tanpa perlu mendapatkan kebenaran penjaga lelaki mereka pada tahun 2019.

Sumber : Yahoo! News

Fathin Nadzira