Siakap Keli
Gambar: Indozone

Jual Gambar ‘Selfie’ Sendiri, Pemuda Ini Berjaya Raih Untung Hampir Setengah Juta Ringgit

Seorang lelaki dari Indonesia, Sultan Gustaf Al Ghozali menjadi bualan hangat di media sosial selepas berjaya mengaut keuntungan sehingga 1.5 bilion Rupiah atau kira-kira RM438 ribu hasil jualan swafoto atau selfie miliknya yang diambil setiap hari sejak lima tahun lalu.

Menurut pelajar dari Fakulti Sains Komputer di Universiti Dian Nuswantoro (UDINUS) Semarang itu, terdapat 932 gambar selfie dirinya yang dijual melalui Non-Fungible Token (NFT) di platform Opensea.io.

Jelas Ghozali, ratusan gambar miliknya itu baru dimuat naik sejak Disember 2021 sebelum dipromosikan oleh komuniti NFT Indo.

“Awalnya saya fikir mungkin lucu kalau ada collector (pengumpul) yang memiliki (foto) saya.

“Harga awal yang saya tawarkan sekitar 3 dolar AS (RM12),” jelasnya.

Gambar: Suara Ternate

Namun tak disangka-sangka, gambarnya menarik minat ramai pihak termasuk collector dan turut dibeli oleh beberapa selebriti Indonesia.

Antara selebriti yang turut membeli gambar swafoto yang dirakamnya setiap hari dari tahun 2017 hingga kini termasuklah chef selebriti Arnold Purnono atau lebih dikenali sebagai Chef Arnold dan chef selebriti Reza Arap.

Nilai jualan 932 keping gambar Ghozali menerusi NFT Opensea setakat ini dikatakan telah mencecah 12 bilion Rupiah atau sekitar RM3.5 juta, di mana 10 peratus daripada hasil itu adalah hak royalti Ghozali.

Keseluruhan 932 keping gambar swafoto Ghozali itu diambilnya sejak menamatkan pengajian di SMK sehingga memasuki semester 7 pengajiannya di Udinus.

Permulaan koleksi selfie selama lima tahun itu menurut Ghozali kerana dia terinspirasi untuk mencipta karya animasi timelapse. Ghozali juga dikatakan masih merancang untuk meneruskan koleksi selfie berkenaan sehingga tamat pengajian.

Kata Ghozali, wang hasil jualan fotonya itu akan dilaburkan untuk merealisasikan impiannya.

Selepas menamatkan pengajian di kolej, pemuda berusia 22 tahun ini ingin bekerja di studio animasi, sebelum mempunyai studio animasi sendiri.

Sumber: Indozone

Eyla Azri