Siakap Keli

“Mampu Beroperasi 15 Hari Tanpa..,” Ini 6 ’Kekuatan’ RENCONG Penuh Gah

Memetik wikiwand, selepas Perang Dunia kedua, pada 24 Disember 1948, darurat telah diisytiharkan di Tanah Melayu akibat daripada ancaman komunis. British ketika itu menyedari kepentingan tentera laut dan mula mengaktifkan semula Malay Navy yang diberi gelaran Malayan Naval Forces (MNF).

Misi MNF ketika itu adalah mengawasi pesisir pantai Tanah Melayu dengan sebuah frigat kelas River HMS Test. Pada tahun 1950, aset ditambah dengan kehadiran sebuah kapal minelayer bekas tentera Jepun, sebuah LCT, HMS Pelandok, sebuah kapal penangkap ikan, HMS Panglima, sebuah kapal torpedo HMS Simbang dan beberapa kapal kecil.

Pada 16 September 1963, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditubuhkan setelah pembentukan Malaysia dan daripada itu, kekuatan TLDM ditambah baik dengan aset-aset pertahanan yang ditempah daripada firma-firma terbaik dunia.

Terbaru, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menerima empat buah kapal Littoral Mission Ship (LMS).  Untuk pengetahuan anda, penerimaan keempat-empat LMS sebagai aset terbaharu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ini dijalankan di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar di Kota Kinabalu.

Nak kenali empat LMS baharu TLDM dengan lebih jelas? Berikut di bawah adalah info menarik mengenainya.

1. LMS 1 = Kapal Diraja (KD) KERIS

LMS ini telah diserahkan secara fizikal pada 31 Disember 2019 lalu dan ditauliahkan pada 6 Januari 2020.

2. LMS 2 = KD SUNDANG

LMS ini telah diserahkan secara fizikal pada 14 Januari tahun lepas dan ditauliahkan pada 5 Mac berikutnya.

3. LMS 3 = KD BADIK

LMS ini telah diserahkan secara fizikal pada 14 September tahun lepas dan ditauliahkan pada 22 Oktober kemudiannya.

4. LMS 4 = RENCONG

Untuk makluman anda, RENCONG merupakan LMS terbaharu yang diterima TLDM. Ia baru saja diserahkan secara fizikal di Qidong, China pada 18 Disember 2021 sebelum tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 28 Disember baru-baru ini.

Menariknya, RENCONG ini bakal mencatat sejarah yang mana ia akan ditauliahkan sebagai KD RENCONG pada 28 Januari ini. Dengan itu, secara rasminya KD RENCONG akan menyertai Skuadron LMS Ke-11 yang berpangkalan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

Difahamkan, misi utama skuadron kapal ini adalah bagi menangkis ancaman asimetri, pengawasan kawasan operasi, rondaan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), tugas-tugas sokongan kepada Military Operation Other Than War (MOOTW) serta sebagai platform sokongan kepada tugasan dalam keadaan aman, konflik mahupun perang.

Apa yang anda kena tahu tentang LMS?

Gambar: MINDEF

LMS merupakan salah sebuah daripada lima kelas kapal di dalam Program Transformasi Armada 15 to 5.

“Kontrak perolehan empat buah LMS ini telah dimeterai di antara Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) pada 23 Mac 2017 dengan kerjasama China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd (CSOC).

Projek Perolehan ini merupakan projek perolehan aset pertahanan kapital yang pertama dari negara China dan keberadaan keempat-empat LMS ini cukup bermakna buat TLDM. Ini kerana ia bukan sahaja menandakan kesemua LMS telah selesai diterima oleh TLDM dalam tempoh yang ditetapkan. Malah perkara yang lebih penting, TLDM kini boleh melaksanakan sepenuhnya perancangan mereka menerusi LMS ini khususnya di bawah Program Transformasi 15 to 5 bagi mengukuhkan lagi kawalan keselamatan di perairan negara.

Ketahui enam keupayaan LMS

1) Ia direka khas untuk melaksanakan pelbagai tugas di kawasan pesisir pantai termasuklah aktiviti rondaan dan pemantauan.

2) Mampu menjadi platform sokongan kepada Tim Quick Reaction Force (QRF) terutama di perairan Sabah Timur yang tidak dapat disokong oleh kapal-kapal TLDM kecil yang lain.

3) Mampu melakasanakan operasi untuk tempoh 15 hari tanpa ulang bekal.

4) Berkeupayaan menampung beban sehingga 750 tan.

5) Boleh memuatkan tujuh pegawai dan 38 orang anak kapal dalam satu-satu masa.

6) Mampu beroperasi pada jarak 2,000 batu nautika dengan kelajuan maksimum 22 knot.

Berdasarkan enam keupayaan ini, TLDM optimis akan memanfaatkannya dengan sebaik mungkin demi mengukuhkan lagi tahap keselamatan di kawasan perairan Sabah.

Ini termasuklah meningkatkan lagi rondaan bagi menangani kegiatan jenayah rentas sempadan seperti kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melalui jalan laut, aktiviti pelanunan dan sebagainya.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan keempat-empat LMS yang telah diterima oleh pihak TLDM.

“Bagi pihak kerajaan khususnya MINDEF, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang berusaha bertungkus-lumus demi memastikan perolehan LMS ini dapat disempurnakan mengikut perancangan.

“Saya secara peribadi turut mengucapkan tahniah kepada seluruh warga TLDM atas perolehan empat buah LMS ni.

“Menerusi taklimat kepada saya sebentar tadi (ketika itu), saya yakin bahawa TLDM sebagai end user yang menyuarakan hasrat untuk memperoleh LMS berkeupayaan dan telah mempunyai perancangan khusus untuk memanfaatkan sepenuhnya aset ini demi kepentingan keselamatan negara,” katanya.

Ops Murni Sabah

Sementara itu, kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk meneruskan kerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Sabah serta agensi-agensi berkepentingan menerusi Operasi Murni (OPS Murni) Sabah akan terus berada pada tahap tertinggi.

Ini terbukti dengan pergerakan anggota ATM yang bekerja-keras membantu mangsa banjir di sekitar Kota Marudu, Paitan, Beluran, Sandakan dan Telupid sejak hari pertama bencana alam itu terjadi.

“Penting untuk saya maklumkan bahawa pada ketika ini 385 anggota bersama 50 aset daripada Briged Kelima Infantri Malaysia bagi kawasan Pantai Barat Sabah dan Brigerd Ke-13 Infantri Malaysia bagi kawasan Pantai Timur Sabah sedang diletakkan dalam keadaan bersiapsiaga untuk diaturgerak pada bila-bila masa,” katanya.

Difahamkan, keutamaan ATM ketika tempoh kesiapsiagaan ini adalah:

  1.  Membantu masyarakat Sabah yang terjejas banjir untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan pasca banjir, terutama di kediaman dan infrastruktur awam.
  2. Membantu agensi-agensi berkaitan melakukan kerja-kerja baik pulih kemudahan termasuk jambatan jika ada yang terjejas.
  3. Bersedia jika berlaku gelombang ketiga banjir di Sabah

“Tekad ATM untuk bersama-sama rakyat Sabah mendepani sebarang musibah tetap teguh sejak dahulu lagi. Bukan sahaja dari sudut keselamatan tetapi juga bencana alam.

“Atas sebab itu, saya ingin beritahu kepada Ketua Menteri serta seluruh rakyat Sabah, jangan bimbang. ATM akan terus membantu sehingga situasi banjir di negeri ini benar-benar pulih sepenuhnya,”

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'