Seperti yang kita tahu, tsunami ialah ombak ‘gergasi’ yang melanda kawasan-kawasan tepi pantai dan boleh menyebabkan kemusnahan serta kematian. Persoalannya, bagaimana tsunami berlaku?
Menurut kenyataan dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), “Tsunami adalah satu gelombang besar yang mempunyai jarak gelombang dan jangka masa yang agak panjang.
“Jarak masa setiap puncak gelombang adalah dalam lingkungan kira-kira 10 minit sehingga 1 jam,” memetik penjelasan jabatan itu.
Terkini, Jepun dan Peru yang telah dilanda tsunami berikutan kejadian letusan gunung berapi di perairan Tonga. Selain dua negara ini, terdapat beberapa buah negara lain yang telah dilanda tsunami dan mengakibat korban ribuan nyawa dan kerosakkan yang amat dasyat.
Hari ini Siakap Keli ingin kongsikan 10 buah negara yang pernah musnah akibat ‘dibedil’ tsunami dan meragut ribuan nyawa manusia tidak mengira usia.
10 buah negara yang sering diancam tsunami
1. Jepun
Pada tahun 2011, Jepun telah dilanda tsunami yang dasyat hingga memberikan kesan hingga ke Norway. Menurut Stacker, terdapat juga serpihan-serpihan bencana tersebut hanyut ke pantai Utara Amerika. Kejadian gempa bermagnitud 9.o tersebut telah meragut kira-kira 15,000 nyawa manusia.
Rekod kejadian tsunami: 357

2. United States
Pantai Barat Amerika adalah kawasan yang paling terdedah dengan ancaman tsunami di Amerika Syarikat. Berdasarkan kenyataan dari Stacker, California, Oregon dan Washington pernah mengalami ancaman tsunami yang berasal dari Rusia dan Amerika Selatan.
“Sementara itu, Alaska terletak di antara beberapa zon seismik paling berbahaya di dunia dan merupakan tapak tsunami terbesar dalam sejarah yang direkodkan, dengan ombak mencapai ketinggian 1,722 kaki,” jelas perkongsian itu.
Rekod kejadian tsunami: 264

3. Indonesia
Indonesia antara yang negara di Asia Tenggara yang kerap mengalami ancaman tsunami. Kejadian yang paling diingati adalah bencana tsunami besar yang melanda Aceh pada 2004 lalu, disebabkan oleh gempa bumi yang kuat. Ia memberi kerugian yang besar buat kerajaan Indonesia ketika itu.
“Lebih dari 200,000 telah maut dan dan kerugian sebanyak 41 billion Ringgit Malaysia,” lapor Stacker, 2020.
Rekod kejadian tsunami: 249

4. Geece
Berhampiran dengan air, gunung berapi, pulau dan dasar laut yang pecah dan cetek menjadikan Greece berisiko tinggi untuk dilanda tsunami. Greece juga terdedah dengan tsunami disebabkan oleh gempa bumi yang kerap berlaku di Afrika Utara.
Menurut Stacker, pada tahun 2004, gegaran gempa bumi di Algeria dilapor mampu dirasai hingga ke pantai selatan Greece dan Pulau Crete.
Rekod kejadian tsunami: 170

5. Chile
Gempa bumi di kawasan pantai adalah gempa bumi yang paling dasyat dalam sejarah Chile. Dengan bermagnitud 8.5, gempa bumi paling buruk pernah melanda Chile adalah pada tahun 1960.
Menurut Stacker, pada ketika itu penduduk cuba untuk melarikan diri namun tsunami melanda sejurus selepas 10 minit selepas gempa. Hal tersebut menyebabkan ramai yang tidak sempat untuk menyelamatkan diri.
Rekod kejadian tsunami: 166

6. Itali
Tsunami yang melanda Itali pada 1908 dahulu adalah antara yang paling kuat pernah berlaku dalam sejarah Eropah. Dalam tragedi tersebut, gempa bumi bermagnitud 7.5 tersebut telah meragut lebih 80,000 nyawa dengan kekuatan impak ombak setinggi 40 kaki.
Rekod kejadian tsunami: 155

7. Russia
Tsunami kerap berlaku di sepanjang pantai timur Rusia yang bersempadan dengan China dan Korea Selatan. Tetapi tidak semua peristiwa di negara ini adalah berpunca daripada alam itu sendiri.
Tulis Stacker dalam artikel mereka, “Presiden Rusia Vladimir Putin baru-baru ini (ketika itu) mengumumkan bahawa negara itu sedang membangunkan senjata nuklear besar-besaran yang boleh menyebabkan gelombang dahsyat.
“Senjata itu dipanggil Poseidon dan kononnya boleh menyebabkan tsunami setinggi 300 kaki,” dakwa kenyataan tersebut.
Rekod kejadian tsunami: 96

8. Filipina
Gempa bumi di dasar lautan adalah punca utama tsunami di Filipina. Negara ini digelar sebagai ‘Ring of Fire’ kerana terdapat banyak gunung berapi aktif di hampir seluruh kepulauan yang akan menyebabkan tsunami berikutnya.
Rekod kejadian tsunami: 92

9. New Zealand
Pakar New Zealand didakwa pernah bimbang dengan prosedur sedia ada yang tidak mencukupi untuk memberi amaran tepat pada masanya kepada penduduk jika berlaku tsunami.
“Maklumat Mudah Alih Kecemasan, siren dan amaran media mungkin tidak digunakan tepat pada masanya untuk penduduk mencari perlindungan di kawasan yang lebih tinggi,” kata pakar tersebut melalui Stacker.
Rekod kejadian tsunami: 80

10. Papua New Guinea
Pada tahun 1998, tsunami dahsyat pernah melanda Papua New Guinea di mana ombak tsunami menghempas daratan sebanyak tiga kali hingga memusnahkan kampung serta meragut 1,600 nyawa.
Menurut Stacker, penduduk cuba melarikan diri ke kawasan yang lebih tinggi, namun ombak tersebut sangat laju dan kuat hingga ramai yang tidak berjaya menyelamatkan diri.
Rekod kejadian tsunami: 76

Sumber: Stacker