Siakap Keli
Credit: Bernama

23 Anggota, Pegawai Polis Pahang Dibuang Kerja – Ramli

KUANTAN, 18 Jan (Bernama) – Seramai 23 anggota dan pegawai polis Pahang dibuang kerja kerana terbabit dengan pelbagai kesalahan dalam tempoh dua tahun sejak 2020, kata Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf.

Beliau berkata sebanyak 14 kes direkodkan pada tahun lepas, manakala sembilan pada 2020 dengan penyalahgunaan dadah merupakan kesalahan tertinggi selain kes jenayah dan rasuah.

“Angka ini sangat membimbangkan, saya tidak boleh terima pegawai polis yang menagih dadah kerana ini adalah sesuatu yang sangat malang. Penyalahgunaan dadah dalam kalangan polis akan meruntuhkan institusi keramat ini.

“Kami tidak mahu polis Pahang mempunyai zombi yang bukan sahaja menyusahkan penyelia dan rakan sekerja mereka, bahkan keluarga dan masyarakat keseluruhan. Implikasi dadah memang kita ketahui amat buruk, risikonya bukan sahaja kepada diri malah kepada mereka yang terdekat,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

Ramli berkata tindakan buang kerja itu diharap dapat dijadikan pengajaran dan peringatan kepada anggota serta pegawai lain yang sedang dalam perkhidmatan supaya tidak terlibat dengan sebarang bentuk kesalahan, yang memberi kesan negatif pada diri sendiri dan pasukan polis.

Sementara itu, Ramli memaklumkan 1,266 kertas siasatan pelbagai kesalahan jenayah komersial berjaya diselesaikan dan bagi kes narkotik seramai 1,101 pembekal serta 2,687 pemilik dadah telah ditangkap pada tahun lepas.

“Beberapa sindiket melibatkan kes jenayah komersial dan dadah turut ditumpaskan, namun kami tidak boleh berpuas hati begitu sahaja, tahun ini kami akan giatkan lagi terutama dalam aspek pencegahan jenayah,” katanya.

Selain itu, beliau berkata lebih 300 warga IPK Pahang yang terkesan dengan kejadian banjir telah diberikan bantuan sewajarnya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 30 warga IPK Pahang.

Sumber: BERNAMA

Faiz Mustafa