Indonesia merupakan negara yang mempunyai pelbagai tradisi unik mengikut adat resam suku kaum tempatan. Antaranya adalah majlis pernikahan yang dilangsungkan mengikut adat tradisi serta budaya yang berbeza.
Menurut Indo Zone, dalam kebanyakan tradisi perkahwinan di sana, terdapat sejenis suku kaum iaitu Suku Tidung yang mengamalkan beberapa adat aneh lagi pelik yang agak sukar diterima akal.
Suku Tidung merupakan suku yang sebahagian besarnya tinggal dan menetap di Pulau Tarakan, Kalimantan Utara. Selain Pulau Tarakan, terdapat juga sebahagian daripada mereka yang menetap di Sabah, Malaysia.
Jika dibandingkan dengan suku-suku lain yang terdapat di Indonesia, Suku Tidung antara suku yang paling sedikit jumlahnya iaitu lebih kurang 250,000 orang sahaja. Walaupun begitu, suku mereka dipercayai masih mengekalkan tradisi yang ada.
Pengantin lelaki tidak boleh lihat pengantin wanita
“Salah satu upacara perkahwinan Suku Tidung adalah pengantin lelaki tidak dibenarkan melihat bakal isterinya, pengantin perempuan akan ditempatkan di belakang tirai.
“Tirai tersebut akan dibuka jika pengantin lelaki bersedia menyanyikan lagu-lagu cinta. Selesai menyanyi, barulah tirai akan dibuka dan kedua-dua mempelai boleh melihat satu sama lain,”menurut Indo Zone.
Di samping itu, pengantin perempuan juga terikat dengan adat dan peraturan yang telah ditetapkan. Mengikut adat Suku Tidung, pengantin perempuan tidak dibenarkan keluar daripada rumah dalam tempoh pertunangan.
Lalu, jika pengantin lelaki tidak datang tepat pada waktunya, mereka akan didenda dengan menghadiahkan perhiasan kepada pihak perempuan.
Yang paling unik selain tiga adat di atas, setiap pasangan pengantin tidak dibenarkan membuang air besar selama tiga hari. Ia mungkin terlihat menyeksakan bagi masyarakat luar, namun sebaliknya merupakan lumrah bagi suku tersebut dan wajib ditaati.
Menurut Indo Zone lagi, adat tersebut dipercayai mampu untuk mengelakkan diri daripada ditimpa sial jika mereka berjaya melakukan hal tersebut.
Disebabkan itu, walaupun mereka sudah mempunyai rumah sendiri, mereka tetap akan ditemani oleh seseorang selama 3 hari untuk memastikan tradisi itu berjalan lancar.
Sumber: Indo Zone