Siakap Keli
Gambar: Lee Zii Jia/ Bernama

Isu Selesai, Lee Zii Jia Umum Sudah Dapat Restu Presiden BAM Untuk Jadi Pemain Profesional

Susulan kemelut yang berlaku dalam arena sukan badminton sejak beberapa hari yang lalu, pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia berkata dia telah mendapat restu dari Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Norza Zakaria untuk menjadi pemain profesional.

Perkembangan itu dikongsikan di laman Instagram miliknya sebentar tadi. Menurutnya, dia bersama ibu bapanya mengadakan pertemuan peribadi dengan Tan Sri Norza hari ini dan berbincang dari hati ke hati.

“Saya gembira kerana kami kini menyelesaikan isu ini dengan BAM selepas mendapat restu Tan Sri untuk menjadi pemain profesional,” katanya.

Ujarnya lagi, pencapaian masa lalu dan masa hadapannya akan sentiasa menjadi produk kepada Tan Sri Norza, BAM dan Malaysia.

Dia juga meluahkan kesyukuran kerana presiden BAM itu sentiasa membimbing, mengasuh dan memberikannya peluang untuk berkhidmat kepada Malaysia.

“Pada masa ini, saya akan komited untuk Kejohanan Berpasukan Asia. Saya harap perkembangan ini menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia dan peminat badminton.

“Teruskan menyokong BAM dan juga pemain profesional negara yang turut dididik oleh BAM, kerana akhirnya kita semua adalah satu,” katanya.

Terdahulu, BAM dilaporkan telah menggantung Lee Zii Jia daripada bermain dalam kejohanan antarabangsa untuk tempoh dua tahun susulan keputusan pemain perseorangan utama itu untuk keluar daripada BAM.

Sumber: Lee Zii Jia

Sofea

There's always another side to every story