Siakap Keli
Kredit: Bernama

‘Merpati Pelangi’ Raih Rezeki Berganda Buat Ismail

TUMPAT, 30 Jan – Percubaan seorang peniaga mewarnakan burung merpati miliknya dengan warna pelangi membuka pintu rezeki berganda apabila keunikan ‘merpati pelangi’ tersebut menjadi tumpuan ramai seterusnya meningkatkan jualan.

Peniaga burung merpati dan ayam serama, Ismail Che Daud, 55, berkata idea untuk mengusahakan merpati pelangi itu timbul apabila perniagaannya kurang mendapat sambutan sejak musim tengkujuh tahun lepas.

Beliau berkata bulu merpati yang lazimnya satu tona warna sahaja iaitu sama ada putih, coklat atau hitam lama-kelamaan dilihat biasa sekali gus tidak menarik perhatian pembeli.

Kredit: Bernama

“Justeru, saya mula memikirkan usaha untuk menarik perhatian pembeli memandangkan jualan sejak musim tengkujuh mula merosot hanya dua hingga empat ekor merpati sahaja mampu dijual sehari.

“Dari situ, timbul idea untuk mula mewarnakan merpati bagi menarik perhatian pelanggan dengan campuran antara dua hingga tiga warna pada setiap ekor burung sekali gus ia menjadi merpati pelangi,” katanya kepada pemberita di kedai miliknya di Simpang Tiga, Kampung Kepulau, di sini hari ini.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata pemilihan warna memainkan peranan penting untuk memastikannya sesuai pada badan merpati sekali gus menarik perhatian pembeli.

Menurut Ismail, beliau kebiasaannya memilih campuran warna merah jambu dan biru atau merah jambu dan merah yang dicampur sedikit hitam untuk diletakkan pada merpati yang telah matang.

“Sebelum melakukan semburan cat, saya akan menutup bahagian mata burung untuk memastikan cat yang disembur hanya melekat dibahagian yang dikehendaki sahaja. Cat yang digunakan juga tidak berbahaya kerana ia tidak kekal dan hanya bertahan lima hingga enam bulan sahaja ataupun sehingga tumbuh bulu baharu.

“Selain merpati, pelanggan juga mempunyai pelbagai pilihan termasuk tekukur, tekukur jawa, merbuk, gembala kerbau, merbuk kuning, ayam serama dan ayam hutan yang dijual antara RM15 hingga RM600 seekor bergantung kepada jenis,” katanya.

Ismail berkata beliau mampu menjual hampir 10 ekor merpati pelangi sehari dan meraih pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan.

Katanya bekalan merpati diperoleh daripada pembekal di sekitar negeri ini dengan purata 20 ekor dalam tempoh dua minggu.

Kredit: Bernama

“Ada sebahagian merpati yang sudah jinak ketika diperoleh. Jika dilepaskan di kawasan sekitar sebagai tarikan untuk orang ramai, ia tidak akan lari walaupun terbang, ia akan kembali semula ke tempat asal (di kedai).

“Biasanya saya akan mengambil tempoh kira-kira sebulan untuk menjinakkan merpati ini iaitu dengan menggunakan teknik hanya memberi makan ketika ia lapar sahaja,” katanya.

Seorang pengunjung, Siti Rohana Idris, 42, dari Kampung Alor Pasir, Wakaf Bharu dekat sini berkata beliau teruja apabila pertama kali melihat merpati berwarna-warni.

“Keunikan merpati pelangi ini menarik perhatian saya untuk mengunjungi kedai Ismail dan melihat burung ini lebih dekat serta bergambar,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Faiz Mustafa