Di dunia ini wujud beribu-ribu jenis haiwan, dari mamalia, reptilia, amfibia, keluarga burung, serangga dan bermacam-macam lagi. Menyentuh tentang serangga, terdapat lebih 22,000 spesies semut yang hidup di muka bumi hari ini dipercayai sejak lebih sejuta tahun dahulu.
Semut hidup dalam koloni yang berjuta-juta populasinya dan mereka saling berkomunikasi menggunakan isyarat kimia dan feromon. Semua spesies semut mempunyai sifat mempertahankan diri dan melindungi rumah serta koloni mereka.
Tapi pernahkah kita terfikir, bagaimana semut yang begitu kecil ini boleh bertahan hidup di kebanyakan jenis muka bumi? Mungkin ada sesuatu sebab mengapa serangga ini mampu ‘survive’ tanpa pupus hingga ke hari ini?

Ciri-ciri badan untuk pertahanan
Menurut Sciencing, badan semut terbahagi kepada tiga iaitu kepala, toraks dan perut. Di kedua-dua belah mulut pula mempunyai rahang, iaitu struktur seperti penyepit untuk memudahkannya membawa makanan, menggali sarang dan juga pergaduhan.
Selain mempunyai rahang yang berbeza-beza mengikut spesies, mereka juga mempunyai penyengat untuk mempertahankan diri daripada pemangsa. Selain itu, mereka juga mungkin mempunyai karung racun yang terletak di dalam perut.

Amaran kimia
Menurut Sciencing, semut berkomunikasi secara berterusan melalui bahan kimia dan feromon. Mereka melakukan proses ini sama ada dengan menyentuh sesungut atau meletakkan jejak bau di atas tanah. Mereka juga menggunakan bahan kimia ini sebagai isyarat amaran bahaya.
“Apabila seekor semut dalam keadaan bahaya, ia akan mengeluarkan cecair feromon sebagai tanda untuk mendapatkan bantuan dari semut lain yang akan berkumpul dan membantunya,” jelas Sciencing.

Kubu pertahanan sarang semut
Semut akan membina rumah mereka dalam sebuah koloni besar bawah tanah. Mereka akan menyembunyikan pintu masuk sarang dengan timbunan tanah. Sebahagian semut akan melakukan hal tersebut dengan sangat kemas, manakala semut lain akan membina busut beberapa kaki ke udara.
Memetik kenyataan dari Sciencing, hal ini akan melindungi rangkaian terowong mereka yang luas daripada sebarang pencerobohan untuk melindungi semut lain seperti ratu, semut muda dan bekalan makanan.
Dalam pada itu, kawasan persekitaran yang mereka diami, sebagai contoh hutan tebal, boleh digunakan sebagai penyamaran untuk melindungi koloni mereka.
Semut tentera (army ants) & pengecualian
Semut tentera adalah spesis semut terkecuali daripada sistem pertahanan koloni. Meneroka artikel Sciencing, terdapat lebih kurang 150 spesies semut tentera yang tinggal di kawasan tropika dan subtropika panas di Amerika Tengah dan Selatan.

Spesies semut ini tidak bergantung pada sarang bawah tanah yang besar untuk melindungi koloni mereka. Malahan, semut ini sangat agresif dengan rahang bawah yang besar untuk mempertahankan diri dan menyerang.
Mereka dengan jumlah yang besar akan berpaut sesama sendiri dan menjadi sebuah sarang yang besar di tempat lain (bukan busut). Namun, sarang ini bersifat sementara, spesies semut ini akan sentiasa bergerak dan memburu pemangsa.
Di bawah ini pula adalah situasi bagaimana semut membina ‘rumah’ koloni besar mereka di dalam tanah.
Sumber: Sciencing