Siakap Keli
Gambar: BBC

Dapat Liputan Di Seluruh Dunia, Ini Kronologi Penuh Tragedi Memilukan Yang Menimpa Rayan

Kisah pilu Rayan Oram yang terperangkap di dalam perigi sedalam 32 meter telah mendapat perhatian masyarakat dunia. Tanpa mengira bangsa dan agama, semua mendoakan yang terbaik untuk kanak-kanak lima tahun itu.

Pun begitu, Allah SWT lebih menyayanginya. Rayan dilaporkan  telah meninggal dunia sejurus selepas dikeluarkan daripada perigi tersebut.

Berikut merupakan kronologi tragedi tersebut

Menyingkap kembali permulaan kepada tragedi itu, Rayan dilaporkan telah terjatuh ke dalam perigi tersebut di Ighran, wilayah utara Chefchaouen pada Selasa, minggu lalu.

Difahamkan, Rayan telah terjatuh secara tidak sengaja ketika bapanya sedang membaiki perigi itu, lapor BBC.

“Ketika itu saya mengalihkan pandangan darinya, tanpa saya sedari dia telah terjatuh ke dalam perigi itu,” kata bapa kepada Rayan.

Gambar: BBC

Sejurus kejadian itu dilaporkan kepada pihak berkuasa, operasi menyelamat di bandar kecil utara Tamorot itu bermula pada petang Selasa dan diketuai oleh Direktorat Perlindungan Awam Maghribi.

Namun, usaha menyelamat mengalami kesulitan kerana perigi tersebut terlalu kecil untuk dimasuki oleh penyelamat.

Ibu kepada Rayan berkata dia berharap agar anaknya itu dapat dikeluarkan hidup-hidup.

“Seluruh keluarga keluar untuk mencarinya, kemudian kami menyedari bahawa dia telah jatuh ke dalam perigi,” katanya.

Rakaman menunjukkan Rayan masih hidup

Kebimbangan mula memuncak dan ratusan orang berkumpul di kawasan perigi itu untuk melihat sendiri operasi menyelamat tersebut. Namun, rakaman daripada kamera yang diturunkan ke dalam perigi pada Khamis memberikan sedikit kelegaan apabila kanak-kanak lelaki itu dilihat masih hidup.

Pasukan penyelamat cuba memberikan oksigen, makanan dan air kepada Rayan melalui saluran khas yang dimasukkan ke dalam perigi itu.

Bagaimanapun, campuran tanah berbatu dan berpasir selain ruang yang sempit membuatkan misi menyelamat itu terlalu berbahaya. Disebabkan itu, jentolak telah digunakan untuk memotong parit besar di sebelah perigi.

Gambar: BBC

Pasukan penyelamat kemudian mula menggali secara mendatar untuk mencapai kanak-kanak itu tetapi operasi terpaksa dihentikan seketika sebanyak beberapa kali untuk membolehkan kru memeriksa sama ada lereng bukit itu selamat daripada runtuh dan tiada tanah memasuki perigi.

Paip besar juga digunakan untuk melindungi pasukan penyelamat dengan menyediakan laluan selamat ke perigi tersebut.

Kejadian itu telah mendapat liputan meluas di seluruh dunia termasuk di rangkaian media sosial. Difahamkan, orang ramai yang berada di kawasan perigi itu turut memuat naik maklumat terkini berkaitan operasi menyelamat Rayan dari semasa ke semasa.

Agensi berita MAP pula melaporkan bahawa para petugas perubatan telah bersiap sedia di lokasi untuk memeriksa kesihatan kanak-kanak itu sebaik sahaja dia dikeluarkan.

Telaga berjaya digali

Gambar: BBC

Para penyelamat termasuk sukarelawan yang dikenali sebagai Ali Sahraoui bekerja keras siang dan malam untuk menggali perigi itu menggunakan tangan dan akhirnya berjaya sampai ke Rayan.

Namun, New York Times melaporkan bahawa keadaan semasa kanak-kanak itu tidak didedahkan secara terus kepada umum selepas dia berjaya ditemui di dalam perigi itu.

Sekitar jam 9.30 malam, sorakan kegembiraan tercetus di sekeliling perigi, di mana ratusan orang awam dan penyelamat berkumpul sepanjang minggu itu, malah ada yang tidur di bawah pokok sambil berjaga-jaga.

Rayan sudah dikeluarkan tetapi penyelamat mengepungnya dengan sangat ketat ketika mereka membawanya ke ambulans, menjadikannya mustahil untuk mengetahui sama ada kanak-kanak itu masih hidup atau sudah meninggal dunia.

Beberapa minit kemudian, satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak diraja Maghribi telah mengesahkan bahawa Rayan meninggal dunia.

Bagaimanapun, maklumat rasmi mengenai punca kematian dan keadaan Rayan ketika dikeluarkan dari perigi itu masih belum didedahkan.

Sumber: BBC, New York Post, Middle East Eye

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.