Bagi mereka yang menyukai haiwan, pasti setiap darinya mempunyai haiwan peliharaan masing-masing yang comel dan melucukan. Majoriti di Malaysia, haiwan peliharaan yang selalu dibela kebanyakannya ialah kucing dan anjing.
Namun, bagi mereka yang hidup berjiran, sudah semestinya akan ada yang kurang senang dengan hal tersebut. Sama ada terganggu dengan bunyi bising dari haiwan-haiwan berkenaan ataupun bau yang kurang menyenangkan. Bagi mereka yang tinggal agak jauh dari suasana kejiranan, ia mungkin tidak jadi masalah.
Oleh itu, menerusi perkongsian seorang peguam hartanah, Syazwan Mohd Jafri, beliau kongsikan tanggungjawab seseorang individu yang mempunyai haiwan peliharaan daripada sudut undang-undang. Bukan itu sahaja, beliau turut kongsikan adab individu sebagai jiran kepada mereka yang mempunyai haiwan peliharaan.
Ikuti perkongsian beliau di bawah dan semoga memberi manfaat.
Nak bela haiwan peliharaan, jadi apa tanggungjawab saya sebagai pemilik dan sebagai jiran?
Bila sebut hartanah, pastinya tidak boleh lari dari hidup berjiran. Bila hidup berjiran, maka ada isu-isu dan tanggungjawab yang perlu dijaga. Dan ini termasuklah isu haiwan peliharaan-paling common, kucing dan anjing. Isu ini mungkin isu sensitif terhadap sesetengah pihak tapi penting untuk kita tahu. Oleh itu, saya akan cuba terangkan seringkas mungkin, straight to the point supaya mudah faham.
Tanggungjawab pemilik haiwan peliharaan – anjing
Antara undang-undang di Malaysia yang menyebut tentang tanggungjawab pemilik haiwan peliharaan (bagi pemilik anjing) adalah:-
- Seksyen 6 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336): Jangan biarkan anjing peliharaan mengejar orang.
- Seksyen 7 Akta 336 – Jangan biarkan anjing peliharaan menyebabkan bahaya atau merosakkan harta benda.
-
Seksyen 8 Akta 336 – Jangan biarkan anjing peliharaan menyerang atau menakutkan orang.Jika biarkan juga dan didapati bersalah, boleh didenda RM100 jika jiran report polis.
Tanggungjawab pemilik haiwan peliharaan – kucing
Manakala untuk kucing pula, undang-undang lebih umum iaitu Seksyen 80 dan 81 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) – Jika pemilik kucing biarkan si bulu mereka berkeliaran dan berak merata (contohnya), dikira “kacau ganggu” dan jiran boleh report ke pihak berkuasa tempatan.
Hak-hak jiran untuk mengadu
Jika jiran-jiran mendapati haiwan peliharaan menganggu mereka, sememangnya mempunyai hak untuk mengadu. Maka tanggungjawab adalah pada kita sebagai pemilik untuk memastikan si bulu dan si comel kita, tidak menganggu mana-mana pihak. Pelihara haiwan, dan pelihara keharmonian kejiranan juga.. Maka jelas lah undang-undang berkait dengan haiwan peliharaan.
Info tambahan & selingan
Jangan kerana geram dengan haiwan peliharaan jiran, kita ambil tindakan sendiri, contohnya seperti pukul, kurung atau lagi teruk racun haiwan tersebut. Tindakan ini dikira “penganiayaan terhadap haiwan” dan salah di sisi undang-undang.
Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 – jika didapati menyakiti, mengurung, atau menyebabkan penderitaan tidak sepatutnya, boleh didenda minimum RM20K dan maksimum RM100K atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya sekali.
Selamat Berjiran semua.. Sekian, Syaz.MJ Peguam Hartanah Anda.
Sumber: Syazwan Mohd Jafri melalui Tukang Apa Hari Ini