Siakap Keli

“Bukan Memaksa, Saya Merayu…” – Khairy Jamaluddin

Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin dalam sesi sidang media hari ini menjawab kebimbangan orang ramai yang mendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seolah-olah memaksa orang ramai untuk mengambil dos penggalak vaksinasi COVID-19.

Menurut Khairy, KKM tidak memaksa sebaliknya menggalakkan semua rakyat Malaysia untuk mengambil dos penggalak COVID-19 sebagai perisai bagi melawan kehadiran varian baharu.

“Bukan memaksa, saya merayu sebab vaksinasi ini seakan perisai yang akan digunakan oleh kita untuk melawan musuh. Perisai yang sedang digunakan oleh kita buat masa kini sudah semakin nipis sebab kita dah pakai perisai ini selama 6 bulan lebih sebelum ini dan ia menjadi semakin nipis.

”Oleh itu, apabila musuh dah datang dengan varian baru, kita perlu kembangkan sedikit perisai kita, itu sahaja,” kata Khairy.

Tambah Khairy, KKM turut mengakui bahawa dos penggalak COVID-19 akan memberikan sedikit kesan sampingan, namun ianya tidak terlalu ketara.

“Dan kita akui bahawa berlaku kesan sampingan, tetapi sangat-sangat sedikit, kebanyakannya juga tidak serius. Kita keluarkan semua data melalui MPRA iaitu farmasi kita dan kita tidak melindungi apa-apa fakta.

”Jadi sebab itu saya merayu dan menggalakan kepada mereka yang belum lagi mengambil dos penggalak untuk mendapatkannya,” kata beliau.

Sumber: Sidang Media KKM

Akhmar Ikmal