Bila sudah memasuki alam dewasa, setiap orang perlu bersedia untuk menghadapi cabaran baharu termasuk mencari pekerjaan demi kelangsungan hidup. Bagaimanapun, bukan mudah untuk mendapatkan pekerjaan terutamanya ketika ekonomi baru saja bangkit semula selepas ‘episod’ kelam akibat pandemik yang melanda dunia sejak dua tahun lalu.
Kebiasaannya, majikan akan mengadakan sesi temuduga terlebih dahulu sebelum memilih calon yang sesuai untuk jawatan yang ditawarkan. Sudah tentulah mereka akan melakukan ‘tapisan’ dengan sangat teliti bagi memilih calon yang terbaik.
Justeru, bagi anda yang sedang mencari pekerjaan dan melakukan persiapan untuk ditemuduga, anda perlulah melakukan yang terbaik walaupun kebanyakan temuduga pada masa kini dilakukan secara dalam talian saja. Jika anda tidak tahu untuk melakukan persediaan yang betul, mungkin anda boleh mengikuti tips yang dikongsikan oleh Sahul HM Al-Rawbari yang mempunyai pengalaman mengendalikan sesi temuduga secara dalam talian.
Menerusi perkongsiannya di Facebook, Sahul yang juga merupakan seorang pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata ramai calon yang mengambil mudah ketika proses temuduga tanpa melakukan persediaan yang mencukupi.
Tidak perlu berlengah lagi, mari ikuti perkongsian bermanfaat darinya di bawah ini.
“Lengkapkan Diri Dengan Pengetahuan Am,” Lelaki Ini Kongsi 7 Tips Temuduga Secara Dalam Talian
Berdasarkan pengalaman beberapa tahun ini mengendalikan sesi temuduga (secara dalam talian), ada beberapa perkara dan tips yang ingin saya kongsikan. Saya menyaksikan ramai calon yang menghadiri temuduga tanpa persediaan yang mencukupi. Mencukupi dari segi apa? Ilmunya. Ilmu yang berkaitan dengan bidang dan pengetahuan am.
Ramai calon yang mengambil mudah, seolah-olah keputusan peperiksaan dan sijil mereka sudah cukup untuk menjamin kejayaan. Dunia semakin mencabar dan persaingan semakin sengit. Pengambilan ke universiti atau kerja mementingkan calon yang paling mantap dan berkualiti.
Jika anda hadir temuduga atas talian seperti Gmeet atau Webex atau Zoom, yang pertama, gunalah nama sebenar ketika ‘login’. Kalau ‘Sahul Hamid’ tulislah ‘Sahul Hamid’ bukan ‘Sahul Al-Rawbari’ atau ‘Tun Mutahir’. Tak perlu nak fancy. Panelis dalam talian akan merujuk skrin anda untuk mencari dan menyebut nama (jika temuduganya lebih daripada dua orang misalnya). Permudahkan keadaan.
Kedua, apabila bercakap pandanglah skrin. Bukan pandang kiri kanan atas bawah. Pandang tepat ke skrin. Make eye contact with the screen. Kalau suara tak jelas pun sekurang-kurangnya panelis dapat melihat muka dan mata yang yakin, dan membaca pergerakan bibir untuk memahami maksud.
Ketiga, ketika pengenalan diri sebutlah terus “Saya John Travolta…”. Tak perlulah “Nama diberi John Travolta…” Kau bukan tingkatan tiga nak buat pengenalan begitu. Itu gaya budak sekolah. Nak masuk universiti atau kerja dah tak relevan begitu. Satu lagi, tak perlu baca nombor IC, kecuali ditanya. Biasanya ‘profile check’ sudah dibuat sebelum berdepan dengan panelis temuduga.
Keempat, cerita tentang sekolah tak perlulah dari tadika. Relakslah bro. Sebut sepintas lalu sekolah rendah dan sekolah menengah dah cukup. Begitu juga ketika menceritakan tentang penglibatan Ko-K, sebutkan yang paling penting sahaja. Kau jadi Ketua Biro Kebersihan Kelas 4 Melati tak perlulah. Fokuskan kepada pencapaian peringkat daerah dan ke atas.
Kelima, jawab apa yang ditanya bukan apa yang tahu. Jawab tepat, jangan menerawang. Temuduga dalam talian tak sama temuduga bersemuka. Jawab dengan ringkas dan padat. Apabila panelis tanya soalan, tak perlulah berulang kali cakap “Terima kasih atas soalannya, saya Denzel Washington…”. Teruskan saja “Baik/Terima kasih. Pada pendapat saya…”
Keenam. Tolonglah bersedia. Banyakkan membaca. Ambil tahu perkembangan semasa negara kita. Keadaan politiknya, kedudukan ekonominya, pandemiknya. Dan institusi yang dipohon itu, siapa bosnya, apa falsafahnya. Panelis tak ada masa nak tunggu calon terkebil-kebil pada soalan yang sangat asas.
Ketujuh, jika ditanya tentang kelebihan diri, ceritalah tentang kualiti yang unik, ‘rare’ atau ‘outstanding’. Pening kepala kita apabila jawapan bagi soalan “apakah kualiti atau kelebihan, kemahiran yang anda ada bagi melayakkan untuk diterima?”, kalian jawab “Saya pendengar yang baik. Saya yakin diri. Mudah berkawan. Saya punctual. Boleh bekerja dalam kumpulan. Saya pendengar yang baik. Saya rajin.” Tidak. Bukan itu jawapan yang diingini.
Jawaplah “Saya mahir berbahasa blablabla… Saya boleh bermain piano dan gitar. Saya memegang tali pinggang 4dan Karate, atau Saya Gurulatih Silat. Saya instruktor catur. Saya mahir dalam perisian Photoshop dan Microsoft Access…” Itulah yang panelis nak tau. Itulah kelebihan dan kemahiran yang meletakkan kalian selangkah di hadapan calon lain.
Itulah sedikit perkongsian daripada saya. Yang paling penting, lengkapkan diri dengan pengetahuan bidang dan pengetahuan am yang secukupnya. ‘Impress the panelists with your knowledge and eloquence”.
Sumber: Sahul HM Al-Rawbari