Siakap Keli
Gambar: Sci Physics/Adam C. Smith

(Video) Nelayan Selamatkan Buaya Cedera Parah, Akhirnya Berkawan Baik Selama 22 Tahun

Kita mungkin sudah biasa dengar atau lihat persahabatan antara manusia dengan haiwan terutama haiwan comel seperti kucing, anjing, burung dan sebagainya. Namun, jarang pula kita dengar atau lihat persahabatan antara manusia dengan haiwan liar seperti buaya.

Bagi seorang lelaki dari Costa Rica ini, semua nyawa adalah penting. Lelaki tersebut pernah bertindak menyelamatkan nyawa seekor buaya sebaik sahaja dia menemuinya cedera parah di tebing sungai. Apa yang menariknya adalah persahabatan yang paling hebat antara manusia dengan haiwan liar.

Gambar: Sci Physiscs/Adam C. Smith

Gilberto “Chito” Shedden merupakan seorang nelayan tempatan dan peminat hidupan liar dari bandar Siquirres di wilayah Limón Costa Rica. Dia pada mulanya bertemu dengan Pacho, seekor buaya pada tahun 1989. Reptilia seberat 1200 paun itu terletak di tebing Sungai Reventazón-Parismina dan nasibnya seolah-olah termeterai selepas ia cedera parah oleh seorang penternak lembu.

Tetapi Gilberto bertekad untuk merawatnya agar kembali sihat, jadi dia menyelamatkan makhluk besar itu, memasukkannya ke dalam botnya dan membawanya ke rumahnya.

Selama enam bulan berikutnya, Gilberto menjaga buaya yang tidak berdaya itu seperti anaknya sendiri. Dia memberi makan rakan baharunya lebih daripada 65 paun daging setiap hari bagi membantunya pulih sepenuhnya. Tetapi untuk berbuat demikian, Pacho memerlukan lebih daripada sekadar makanan.

“Makanan tidak mencukupi. Buaya memerlukan kasih sayang saya untuk mendapatkan semula keinginan untuk hidup. Saya hanya mahu dia merasakan bahawa seseorang menyayanginya dan bahawa tidak semua manusia itu jahat”, jelas Chito untuk Tico Times.

Hasil kasih sayang dan keselesaan yang diperoleh daripada penjaganya, keadaan Pacho bertambah baik dengan ketara. Apabila tiba masanya, Chito memutuskan untuk melepaskannya kembali di alam liar.

Namun, apa yang menghairankan adalah buaya itu enggan meninggalkan lelaki yang menunjukkan begitu banyak kebaikan kepadanya. Sejak saat itu, kedua-duanya tidak dapat dipisahkan. Buaya yang diselamatkan itu tinggal di kolam bersebelahan dengan rumah Gilberto, kedua-dua sahabat itu menghabiskan setiap hari bersama-sama selama 22 tahun.

Gambar: Sci Physics/Adam C. Smith

Mereka bahkan mendapat kemasyhuran di seluruh dunia pada tahun 2000-an, apabila mereka dipaparkan dalam dokumentari yang dipanggil The Man Who Swims With Crocodiles. Selama lebih sedekad, Chito dan rakan baiknya, Pacho pernah membuat persembahan untuk pelancong di tasik buatan di Finca Las Tilapias.

Walaupun untuk semua orang terdengar luar biasa bagi seorang lelaki untuk berenang dan bermain dengan buaya besar, tetapi Chito tidak pernah takut rakannya boleh menyakitinya.

Gambar: Sci Physics/Adam C. Smith

“Selepas dua atau tiga tahun, sesuatu boleh berlaku, mungkin… tetapi selepas 22 tahun saling menyayangi, tiada apa yang pernah berlaku, jadi saya tidak fikir begitu,” kata lelaki itu.

Namun, pada 12 Oktober 2011, buaya itu telah mati akibat semula jadi. Dipercayai ia berusia lebih 60 tahun. Tetapi persahabatan yang memberi inspirasi dengan lelaki yang menyelamatkan nyawanya akan kekal selama-lamanya.

Sumber: Sci Physics

Aireena Marizan