Siakap Keli

Bukan Saji Aksi Silat Semata-mata, Filem SYAHADAN Ke Pawagam 17 Februari Ini

SYAHADAN – dengan membawa maksud permulaan sebuah cerita merupakan filem sulung terbitan Trilion Marketing Sdn. Bhd. Filem ini membawa hasrat besar pencinta seni budaya tambah memenuhi harapan UNESCO untuk diterbitkan sebuah karya seni warisan silat untuk dihayati serta menjadi pengupaya nilai-nilai silat dalam hiburan masa kini. 

Ia bukan sekadar filem yang menyajikan aksi silat semata-mata, tetapi digarap dengan pembentukan jati diri anak bangsa sesuai dengan falsafah persilatan, iaitu perlambangan Akal Budi Melayu. 

Filem ini juga diterbitkan dengan kerjasama Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) yang mempunyai keahlian 4.4 juta di seluruh negara melibatkan pelbagai latar belakang anggota serta merentasi ideologi politik serta bangsa untuk terus mengangkat seni bela diri warisan Melayu serta memupuk semangat patriotik cintakan negara dan nilai-nilai murni. 

Walaupun golongan sasar filem ini adalah lebih kepada pecinta seni warisan Melayu, Syahadan optimis dapat menarik masyarakat umum ke panggung untuk berhibur bersesuaian dengan penceritaannya yang dekat dengan kehidupan masyarakat, penuh hikmah dan patuh Syariah. 

Karya Datuk Dr Haji Fairus Hussain & Halim Hassan ini berkisarkan tentang seorang remaja bermasalah bernama Omar yang hidup tanpa arah tujuan serta diserapi unsur hedonisme. Demi mendisiplinkan Omar, ayahnya nekad mengantarnya ke kampung bagi memperbaiki akhlak dengan harapan semoga Omar akan mempunyai matlamat hidup yang jelas. Cabaran untuk anak kota ‘dijinakkan’ dengan silat bukan sekadar berlatih gerak serta kekuatan, tetapi ia adalah cara hidup bagi membentuk akhlak terpuji. Kisah silam yang disembunyikan ayah Omar, saat Omar kecil yang menjalani pembedahan menggunakan khidmat pemerdagangan organ antarabangsa di pasaran gelap mula menjemput penjenayah dalam hidupnya. 

“Filem Syahadan sengaja menampilkan pelakon baru seperti Al-Jufferi Jamari sebagai Omar, Anuar Rahman sebagai Pak Daud dan juga Bob Megat sebagai ayah Omar. Al-Jufferi ini kita pilih kerana wataknya yang sangat bersahaja dan sesuai dengan gaya anak muda hari ini yang sukakan kebebasan. Yang paling penting, kita angkat atlet pesilat kebangsaan atas bakat berlakon dan beliau juga merupakan pemegang kejuaraan dunia sebanyak tiga kali!” Menurut Datuk Dr Haji Fairus Hussain yang juga merupakan Presiden Persatuan Seni Silat Lincah Malaysia

Kisah Filem ini pernah tular di media sosial kerana tidak mendapat ruang penyiaran di sebuah stesen TV berbayar. Namun, penerbit & pengarah tidak berputus asa dan terus mara berusaha untuk memperlihatkan kemampuan isi kandungannya serta persembahan silat yang setanding dengan seni bela diri yang lain. Bersesuaian dengan nama disebalik Syahadan itu sendiri yang membawa kepada sebuah permulaan cerita, Filem ini akhirnya berjaya ke layar perak dan bakal menemui penonton di 41 pawagam terpilih di seluruh negara bermula 17hb Februari 2022.Filem ini juga mendapat sokongan dan juga bantuan pihak FINAS yang komited menyokong karya filem tempatan demi memartabatkan budaya serta elemen Malaysia. 

Syahadan juga telah dilamar produksi serta agensi dari negara Turki yang berhajat untuk sambungan kedua yang bakal dibuat berlatar-belakangkan kedua negara dengan menampilkan barisan pelakon terkenal serta kandungan aksi yang lebih padat. Perbincangan akhir telah dimulakan sejak Disember tahun lepas dan kita jangkakan Julai ini tim akan ke Istanbul dan beberapa kota di Turki untuk memulakan proses penggambaran serta produksi . 

Menurut (Dr) Sani Araby Al-Kahery, Ketua Aktivist Kemanusiaan Antarabangsa MAPIM MALAYSIA “Saya mengajak seluruh rakyat Malaysia yang cintakan seni budaya untuk beramai-ramai hadir menonton berbusana melayu serta bertanjak pada 17 hingga 20hb Februari ini sebagai menzahirkan sokongan kepada filem Syahadan dan seni warisan silat ini!” Beliau yang baru pulang dari mengetuai Misi Khas Musim Sejuk Syria di Pergunungan Aarsal Lebanon merupakan pendokong serta pengarah strategi kepada Filem Syahadan. 

Filem Syahadan turut menempa sejarah tersendiri dengan sokongan langsung pihak Istana dizahirkan menerusi kehadiran KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli ke tayangan perdana yang berlangsung di TGV One Utama beserta VVIP dan barisan artis serta tetamu kehormat. 

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.