Siakap Keli
Kredit: JAKOA

Dari Pedalaman Ke Eropah, Kisah Edmund Ross Williams, Anak Orang Asli Yang Tamat Ijazah Sarjana Di UK

Memiliki kejayaan dari segi pendidikan sudah semestinya menjadi impian ramai orang. Lebih-lebih lagi orang tua, ibu bapa kita yang memegang harapan tinggi terhadap kejayaan anak-anak mereka.

Tambahan pula, jika berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara sudah pasti ia satu pencapaian yang amat membanggakan kita dan keluarga. Manakan tidak, belajar di dalam Malaysia pun kita sudah rasa susah inikan pula negara orang yang kita perlu sesuaikan diri dengan budaya dan bahasa yang berbeza.

Begitulah kisah yang dikongsikan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengenai pemuda Orang Asli, Edmund Ross Williams yang berjaya menamatkan pengajian peringkat sarjana di University of London.

Anak jati Perak Darul Ridzuan yang merupakan keturunan Orang Asli dari suku kaum Semai ini telah berjaya menamatkan pengajian dalam bidang teater muzikal dengan kepujian dari Goldsmiths Universiti of London di bawah tajaan biasiswa Chavening.

Gambar: JAKOA

“Edmund merupakan salah seorang daripada 38 sarjana Malaysia yang dianugerahkan biasiswa tersebut oleh Foreign, Commonwealth & Development Office (FDCO) United Kingdom pada tahun 2020.

“Seramai 1,300 sarjana telah terpilih sebagai penerima anugerah biasiswa tersebut di seluruh dunia daripada 60,000 permohonan,” tulis JAKOA.

Selain itu, menurut JAKOA, beliau juga mengikuti kursus Creative Producing di CGO Institute pada tahun 2021 secara separuh masa dalam masa yang sama melanjutkan sarjana. Khabarnya beliau turut berjaya menamatkan kursus tersebut dengan kelulusan diploma.

“Edmund memegang Ijazah Bachelor Sains (Pemakanan & Kesihatan Komuniti) dari Universiti Putra Malaysia dan Ijazah Kepimpinan Pendidikan (Lulus dengan Kepujian) dari Universiti Malaya.

“Beliau turut pernah mengikuti kursus pendek dalam bidang teater dan seni persembahan di National Institute of Dramatic Art, Sydney, Australia dan Royal Conservatoire of Scotland, Glasgow, United Kingdom.

“Sebelum ini, Edmund pernah berkhidmat sebagai Pegawai Sains (Pemakanan) di Kementerian Kesihatan Malaysia dan Penolong Pendaftar di Universiti Malaya,” tulis JAKOA di laman Facebooknya hari ini

Gambar: JAKOA

Sumber: JAKOA

Faiz Mustafa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.