Siakap Keli
mati lokap

Rangka, Tengkorak Manusia Ditemukan Dipercayai Warga Emas Hilang 31 Jan Lepas

MELAKA, 15 Feb (Bernama) – Satu rangka bersama tengkorak manusia ditemukan di tanah lapang di Jalan Tengkera di sini, dipercayai seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang pada 31 Jan lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata pihaknya menerima aduan mengenai penemuan rangka manusia itu oleh seorang pekerja kedai tayar pada kira-kira pukul 6 petang semalam.

“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Melaka Tengah dan D9 telah pergi ke tempat kejadian untuk siasatan dan menemukan kad pengenalan mangsa dalam poket seluar berdekatan rangka.

“Semakan mendapati mangsa berusia 87 tahun beralamat di Taman Kota Laksamana Seksyen 2, dilaporkan hilang dan tidak pulang ke rumah sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Christopher berkata siasatan awal juga mendapati mangsa dikatakan tinggal seorang diri selain mempunyai masalah ingatan berikutan faktor umur.

Beliau berkata menerusi laporan yang dibuat anak saudaranya, mangsa disyaki telah berjalan kaki dari rumahnya yang terletak tidak berapa jauh dari tempat kejadian terbabit.

“Dipercayai kemungkinan mangsa telah terjatuh di kawasan semak samun di tanah lapang yang bersebelahan sebuah hotel di situ dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka telah membuat pengumpulan rangka dan tengkorak yang ditemukan dan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut memandangkan siasatan awal tidak menemukan sebarang petunjuk berunsurkan jenayah.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang