Siakap Keli
Gambar Hiasan Via ABC News

Kanak-Kanak Bawah Lima Tahun Tak Penuhi Had Masa Dihadapan Skrin – Kajian

Satu kajian mendapati majoriti kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah tidak memenuhi had masa skrin yang ditetapkan terhadap mereka.

Menurut Daily Mail, kajian yang diterbitkan dalam jurnal Jama Paediatrics itu mendapati hanya satu perempat kanak-kanak di bawah dua tahun dan satu daripada tiga yang berumur dua hingga lima tahun memenuhi garis panduan global berkaitan tempoh masa di hadapan skrin telefon pintar.

Untuk pengetahuan, garis panduan global yang dicipta oleh American Academy of Paediatrics itu mencadangkan kanak-kanak di bawah umur dua tahun untuk tidak sama sekali diberikan akses kepada skrin telefon pintar, manakala kanak-kanak berumur dua hingga lima tahun pula perlu menghabiskan masa tidak lebih daripada satu jam sehari.

Kesannya, ia dikatakan mempunyai kaitan dengan masalah tingkah laku atau perkembangan yang lemah.

Para saintis dari University of Calgary, Kanada telah mengumpul pelbagai data daripada 63 kajian yang dilakukan.

“Media digital kini menjadi sebahagian daripada teknologi wajib yang ada dalam kehidupan anak-anak kecil, justeru garis panduan masa dihadapan skrin perlu disesuaikan ke dalam rutin harian dan menjadi keutamaan setiap keluarga,” tulis mereka dalam kajian itu.

Kajian itu melibatkan seramai 89,163 responden yang kebanyakan memberi maklum balas menerusi soal selidik dan temu bual.

Bagi kanak-kanak di bawah dua tahun, kajian sebahagian besarnya menjurus kepada penggunaan skrin untuk menonton TV/filem atau gabungan TV/filem dan komputer, telefon bimbit dan permainan video.

Hasil dari kajian itu, para saintis membuat kesimpulan bahawa kanak-kanak adalah pengguna media digital yang paling pesat berkembang dan tempoh berada di hadapan skrin yang terlalu lama menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.

“Meta analisis ini menunjukkan bahawa majoriti kanak-kanak lima tahun ke bawah tidak memenuhi garis panduan masa skrin,” kata para saintis.

Sumber: Daily Mail

Sofea

There's always another side to every story