Siakap Keli
Gambar Via Jawa Pos

“Pernah Nampak Sosok Dua Wanita Berdiri,” Rumah Terbengkalai Ini Didakwa Dipenuhi Misteri

Kisah-kisah seram sememangnya tidak asing dalam kalangan masyarakat di nusantara sejak berabad lamanya. Walaupun ada sesetengah kisah yang direka semata-mata namun kita sebagai umat Islam juga perlu percaya bahawa makhluk ghaib seperti jin dan syaitan itu wujud di dunia ini.

Kebiasaannya, rumah-rumah atau bangunan lama yang mempunyai pelbagai sejarah sering dikaitkan dengan penemuan misteri dan menyeramkan.

Seperti kisah sebuah rumah di Kota Semarang, Indonesia ini yang didakwa mempunyai misteri yang masih belum terungkai sehingga kini.

Menurut Jawa Pos, rumah ala Eropah yang tersergam indah itu telah lama ditinggalkan oleh pemiliknya dan penduduk tempatan menggelar rumah itu sebagai rumah genderuwo iaitu sejenis bangsa jin atau makhluk halus yang dipercayai wujud seperti manusia tetapi mirip kera.

Rumah yang terletak di Jalan Letjen S. Parman, Desa Petompon, Kecamatan Gajahmungkur, Kota Semarang itu dilihat masih lagi boleh didiami tetapi keadaannya kini dikatakan sangat kotor, tidak terurus dan ditumbuhi tumbuhan liar.

Gambar: Jawa Pos

Ada dua versi cerita

Difahamkan, terdapat dua versi kisah berkaitan rumah terbiar itu yang selama ini menjadi bualan ramai. Versi pertama mendakwa bahawa rumah itu pernah didiami oleh sebuah keluarga dari Sepanyol.

Mereka dipercayai kembali semula ke negara asal dan tidak pulang sehingga sekarang, menyebabkan rumah itu terus terbiar.

Sementara itu, versi kedua pula mendakwa bahawa rumah tersebut terbiar kerana dahulu pernah berlaku pembunuhan beramai-ramai ke atas sebuah keluarga. Pelakunya tidak dikenalpasti sehingga kini.

Rumah yang terbengkalai itu juga dikatakan menjadi tempat persembunyian untuk para penjenayah.

“Dulu rumah ini menjadi tempat samseng di Semarang berkumpul. Penduduk telah menangkap dan menghalau mereka dan kini ia terus terbiar sepi,” kata seorang penduduk tempatan, Seto kepada Jawa Pos.

Katanya, dia juga merasa meremang ketika melangkah masuk ke dalam rumah itu. Ditambah pula dengan keadaan rumah yang sekarang ini sangat kotor dan dilitupi dengan semak samun, menimbulkan effect seram kepada pengguna jalan raya yang berdekatan dan penduduk di situ.

Pernah nampak dua wanita berdiri di balkoni

Sementara itu pengguna jalan raya mendakwa sosok hantu dua beradik yang disangkakan penghuni asal rumah itu dilihat sering muncul.

“Saya pernah melihat dua wanita iaitu seorang dewasa dan seorang kecil, berdiri di balkoni tingkat dua menghadap jalan raya,” kata salah seorang pengguna jalan raya, Vidi.

Malah, mereka mengatakan bahawa terdapat pelbagai ‘makhluk’ yang sering muncul memberikan petanda buruk.

Gambar: Jawa Pos

“Setiap kali ular muncul di hadapan rumah ini, kemalangan akan berlaku di kawasan itu tidak lama selepas itu,” kata Seto.

Penduduk tempatan juga gempar mengenai sosok pontianak yang menunjukkan kewujudannya melalui bunyi dan rupa yang berterbangan di sekeliling rumah. Bukan itu sahaja, mereka turut mendakwa sosok tubuh tinggi dan besar juga sering muncul di sekeliling pokok besar yang tumbuh di halaman rumah.

Bagaimanapun, keindahan seni bina di dalam rumah tersebut juga tidak dapat dinafikan, ia dilengkapi dengan ukiran dan mural yang sangat cantik pada setiap dinding.

Sumber: Jawa Pos

Sofea

There's always another side to every story