Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan/Google

Pelajar Hilang Kaki Dipercayai Lepas Makan Mi Ayam Kawan

Seorang pelajar telah kehilangan kaki akibat dijangkiti penyakit sepsis, dipercayai setelah memakan lebihan makanan salah seorang rakannya, lapor Mirror.

Menurut laporan, pelajar lelaki itu memakan lebihan hidangan mi ayam yang dipesan oleh rakannya itu pada malam sebelum kejadian.

Tidak lama selepas itu, dia terus mengalami sakit sehingga terpaksa dibawa ke hospital.

New England Journal of Medicine (NEJM) berkata, pelajar itu mempunyai suhu yang sangat tinggi dengan kadar denyutan jantung 166 dalam seminit apabila dia dibawa ke hospital dan dibius.

Selepas diperiksa, doktor mendapati pelajar itu tidak mempunyai alahan dan menjalani semua vaksinasi zaman kanak-kanaknya mengikut rekod doktor.

Keadaannya dikatakan menjadi semakin teruk dan dia terpaksa dihantar ke hospital lain dengan menaiki helikopter untuk rawatan lanjut.

“Pesakit sihat sehingga 20 jam sebelum kemasukannya ke hospital akibat sakit perut dan loya selepas dia makan nasi, ayam dan sisa makanan dari restoran.

“Dia bekerja sambilan di sebuah restoran dan tidak pernah mengembara baru-baru ini atau mempunyai sebarang pendedahan lain kepada haiwan atau orang yang sakit,” kata NEJM.

Sementara itu, bapanya dikatakan menghidap penyakit arteri koronari dan abangnya pula menghidap virus meningitis.

Difahamkan, pelajar tersebut mengalami sakit perut, dan muntah serta dikuti dengan menggigil, sakit dada, sesak nafas, sakit kepala, leher kaku dan penglihatan kabur.

“Lima jam sebelum dimasukkan ke hospital, pelajar itu mengalami perubahan warna seperti keunguan pada kulit.

“Dia disahkan mengalami jangkitan kuman yang agresif yang menyebabkan buah pinggangnya gagal berfungsi dan darahnya mula membeku,” kata NEJM.

Hasil bakteria dalam darahnya menunjukkan keputusan Neisseria Meningitidis iaitu sejenis sepsis yang boleh membunuh penghidapnya.

Pelajar itu dipercayai dijangkiti bakteria melalui air liurnya dan dia telah terlepas mendapatkan suntikan penggalak untuk vaksin meningokokus yang sepatutnya diambil pada usia 16 tahun.

Tisu di bahagian kaki hingga ke jari kakinya mengalami gangren menyebakan ia terpaksa dipotong dari bahagian bawah lutut.

Insiden itu telah dilabelkan sebagai ‘kemalangan aneh’ oleh salah seorang doktor dan bersyukur pelajar itu terselamat.

Sumber: Mirror

Sofea

There's always another side to every story