Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Saintis Dakwa Temui Rangka Buaya Berusia 93 Juta Tahun

Rangka seekor buaya berusia 93 juta tahun dilaporkan telah ditemui oleh saintis dengan bayi dinosaur dipercayai berada di dalam perutnya.

Laporan saintis di dalam Gondwana Research percaya bahawa buaya yang digelar sebagai Confractosuchus Sauroktonos itu membesar sekitar 2.5 meter.

Reptilia itu dikatakan 35% terpelihara dengan tengkorak yang hampir lengkap dan giginya yang menakutkan.

Penyelidik juga telah meneliti rangka itu dengan lebih terperinci menggunakan imbasan 3D dan X-ray.

“Dalam imbasan awal pada tahun 2015, saya melihat tulang tertanam di sana yang kelihatan seperti tulang ayam dengan cangkuk di atasnya dan terus berfikir bahawa ia adalah dinosaur.

“Manusia tidak pernah melihatnya sebelum ini kerana ia masih ‘terbungkus’ dalam batu sepenuhnya.

“Tinggalan fosil ditemui di dalam batu besar dan ia terbentuk apabila bahan organik atau buaya tenggelam ke dasar sungai,” kata pengarang bersama kajian itu, Joseph Bevitt.

Sementara itu, para saintis percaya bahawa rangka reptilia itu terpelihara kerana lumpur yang mengelilingi rangka itu mengeras kerana kewujudan bakteria.

Dinosaur yang berada di dalam perut buaya itu dianggap sebagai hidangan terakhir dan ia sememangnya mengejutkan para saintis.

Untuk mengesahkan dinosaur berada di dalam perut buaya, mereka menganalisis akar tumbuhan dan ciri geologi antara serpihan batu.

Sampel batu terpaksa dikecilkan kepada saiz yang boleh ditembusi sinar-X untuk pengimbasan berkualiti tinggi.

“Kimia daripada batu memberikan bukti,” kata Dr Bevitt.

Para saintis berkata buaya itu mati dalam kejadian banjir di mana ia ditanam dan mati secara mengejut.

Sumber: Mirror

Sofea

There's always another side to every story