Siakap Keli
Gambar: Beijing Youth Daily via Metro

Padah Percaya Iklan Palsu, Lelaki Jadi ‘Korban’ Derma Darah Secara Paksa

Seorang pengawal keselamatan yang dilaporkan hilang dipercayai telah diculik dan dijadikan korban ‘hamba darah’ di mana hampir satu liter darahnya diambil setiap bulan.

Menurut Metro UK, lelaki berusia 31 tahun itu masih bernyawa meskipun telah mengalami pelbagai jenis kegagalan organ akibat pendermaan darah secara paksa berulang kali.

“Dipercayai kumpulan sindiket yang menculik dia menjual darah tersebut kepada pembeli persendirian secara dalam talian.

“Mangsa mendakwa dia telah diperdagangkan pada Jun tahun lalu apabila terpedaya dengan iklan jawatan kosong sebagai ‘bouncer’ di salah sebuah kelab di Guangxi, China,” tulis Beijing Youth Daily, lapor Metro UK.

Difahamkan, dia diseludup ke Sihanoukville, di Kemboja oleh geng penjenayah yang menjualnya dengan harga RM77,000 kepada kumpulan lain. Mereka kemudian cuba memaksanya bekerja untuk pelbagai skim penipuan telemarketing.

Bagaimanapun disebabkan dia enggan pergi untuk mengambil wang tebusan, penculik tersebut mula mengambil darahnya berulang kali. Dia juga diugut penculik terbabit untuk dijual oleh ‘taukeh’ organ manusia.

Gambar: Beijing Youth Daily via Metro

Menurut Metro, kadar biasa derma darah yang dibenarkan bagi lelaki dewasa di UK adalah 470 mililiter, namun lelaki itu terpaksa menanggung azab apabila darahnya disebut sebanyak 800 mililiter.

Tidak cukup dengan itu, kebiasaannya tempoh derma darah yang normal bagi lelaki ialah 12 minggu dan perempuan 16 minggu, namun lelaki ini dipaksa untuk ‘menderma’ darahnya pada setiap bulan.

Miliki darah universal

Dalam pada itu, lelaki malang tersebut turut memberitahu South China Morning Post bahawa punca darahnya paling banyak diambil adalah kerana dia memiliki darah universal jenis O.

Selain itu, dakwanya kumpulan penculik tersebut akan menggunakan prod elektrik untuk memukulnya.

Namun lelaki itu akhirnya melarikan diri apabila salah seorang ahli kumpulan tersebut mengkhianati rakan-rakannya. Dia dimasukkan ke hospital pada 12 Februari dan kini berada dalam keadaan stabil.

Kedutaan China menegaskan, kepada rakyat China yang ingin bekerja di Kemboja untuk mengikut saluran yang betul dan jangan sesekali mempercayai iklan palsu yang menawarkan gaji yang tinggi.

Sumber: Metro UK

Faiz Mustafa