Baru-baru ini, tular klip video dari sesi live oleh Big Jet TV yang menunjukkan sebuah kapal terbang Malaysia Airlines MH4 (MAS) berjaya melakukan pendaratan ‘sempurna’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow di London.
Semasa rakaman tersebut dibuat pada 18 Februari lalu, London dikatakan sedang dilanda taufan Eunice yang mengakibatkan cuaca buruk berserta angin kencang sehingga amaran cuaca tahap merah terpaksa dikeluarkan Jabatan Meteorologi di sana.
Taufan Eunice disifatkan sebagai taufan paling teruk dalam tempoh beberapa dekad kebelakangan ini. Namun begitu, pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH4 selamat mendarat di Heathrow kira-kira jam 3 petang waktu United Kingdom.
Kecekapan juruterbang dalam mengawal pesawat sempat menuai pujian orang ramai. Tetapi, siapakah gerangan juruterbang Malaysia yang mengemudi pesawat Airbus A350-900 XWB ini?
‘Duo’ pesawat Malaysia Airlines MH4
Menurut Utusan TV, penerbangan MH4 ini dikendalikan oleh Kapten Low Boo Keng dan dibantu Pegawai Pertama Muhamad Firdaus Mohd Sharif.
Boo Keng yang kini berusia 53 tahun merupakan seorang juruterbang berpangkat Kapten yang berasal dari Kedah. Boo Keng yang lebih senang disapa Kenny ini mempunyai 31 tahun pengalaman dalam bidang penerbangan.
Sementara Muhamad Firdaus yang juga co-pilot penerbangan MH4 adalah juruterbang MAS berusia 33 tahun berasal dari Shah Alam, Selangor dan memiliki 12 tahun tahun pengalaman penerbangan.

Mendarat semasa taufan Eunice lain daripada biasa
Bercakap mengenai pendaratan mencabar itu, Muhammad Firdaus dalam rakaman temu bual bersama Utusan TV mengaku keadaan taufan Eunice lain daripada biasa.
Hal ini kerana, angin kencang semasa taufan Eunice dapat dirasakan dari ketinggian 10,000 hingga 15,000 kaki dari landasan, berbanding 1,000 hingga 2,000 kaki dalam keadaan cuaca buruk kebiasaannya.
Baca: Ini Cara ‘Update’ MySejahtera Jika Ujian RTK Tunjuk Keputusan Positif COVID-19
“Penerbangan dari Kuala Lumpur ke London (Heathrow) mengambil masa 13 ke 14 jam.
“Selalunya kalau keadaan cuaca yang teruk, kita akan alami bila nak mendarat iaitu lebih kurang 1,000 atau 2,000 kaki sampai ke landasan.
“Tapi keadaan ketika Eunice tu saya rasa 10,000 kaki ke 15,000 kaki kita dah rasa angin dah kuat.
“Kuat bukan dari satu arah sahaja, tapi dari arah kiri, kanan, depan dan belakang mengakibatkan gegaran di dalam kokpit, kalau di kabin rasanya lagi teruk,” kata Muhammad Firdaus.

Sementara itu, Kenny turut mengatakan bahawa ketika itu angin sememangnya kencang dan dia juga sempat merasakan pesawat bergoyang.
“Pada pukul 3.22 petang waktu di London, kita dah tahu ada ribut Eunice dan cuaca masa tu memang angin kencang, tak tentu arah.
“Pesawat pun memang tengah bergoyang kiri kanan,” jelasnya memetik dari Utusan TV.
Ditanya bagaimana mereka boleh kekal tenang semasa melakukan pendaratan, Muhammad Firdaus berkata ia adalah hasil daripada latihan semasa di akademi.
“Semua pilot terutamanya di Malaysia Airlines, saya yakin kalau diberikan situasi yang sama, InsyaAllah kesemuanya akan melakukan benda yang sama.
“Ini hasil daripada latihan yang kami terima di akademi, baik dari kapten, first officer atau kadet”
semua telah dilatih mengendalikan pesawat untuk cuaca sebegini, jadi saya yakin tak jadi masalah,” ujar Muhammad Firdaus.
Momen pendaratan ‘sempurna’ Kapten Kenny dan Pegawai Pertama Muhammad Firdaus di Heathrow boleh dilihat bermula minit 6:12 di bawah.
Sumber: Utusan TV
Claim voucher Anti-Acne Body sebanyak 25% dengan tekan gambar di bawah, stok terhad