Tragedi letupan loji kuasa nuklear Chernobyl yang berlaku di Ukraine pada 26 April 1986 lalu semestinya menjadi salah salah satu peristiwa yang cukup diingati dalam lipatan sejarah.
Mungkin umumnya sudah mengetahui bagaimana menara loji tersebut boleh meletup. Namun tidak ramai yang tahu, ada satu kisah pilu bola sepak yang turut dikaitkan di sebalik tragedi dahsyat ini.
Menurut Daily Star, dikatakan di bandar Pripyat terdapat sebuah stadium yang terbiar (abandoned) sekian lamanya sejak bencana Chernobyl di Ukraine berlaku kira-kira 30 tahun lalu.
Difahamkan, stadium yang dinamakan sebagai Stadium Avanhard Pripyat itu pada asalnya dibina untuk kelab bola sepak tempatan, Stroitel Pripyat FC Ukraine ketika zaman itu.
Dalam masa sama, Pripyat mula dibangunkan pada sekitar 1970 untuk menjadikan bandar tersebut sebagai salah satu wilayah paling moden (ketika zaman itu) dengan mempunyai loji kuasa nuklear.
Bagaimanapun selepas bencana Chernobyl berlaku, impak letupan tersebut telah memusnahkan seluruh kawasan bandar berkenaan. Apatah lagi radiasi nuklear yang mencemari segenap ruang udara.
Difahamkan, loji janakuasa itu dipercayai musnah dan asap nuklear toksik tersebar ke seluruh bandar itu selama sembilan hari. Malah hampir beribu-ribu kematian juga turut dilaporkan.
Menurut Atlas Obscura letupan nuklear Chernobyl (bencana radiasi) ini dianggap seratus kali lebih teruk jika dibandingkan daripada bom yang dijatuhkan di Hiroshima dan Nagasaki.
Susulan bencana yang begitu teruk itu, stadium bola sepak tersebut yang asalnya ingin dijadikan ‘kebanggaan’ buat Stroitel Pripyat FC turut musnah dan telah pun ditutup serta dibiarkan begitu sahaja.
Letupan berlaku beberapa hari sebelum perlawanan
Menurut Daily Star, lebih ‘mengejutkan’ lagi, kejadian letupan itu dilapor berlaku hanya beberapa hari sebelum perlawanan separuh akhir bola sepak Stroitel FC menentang Borodyanka FC berlangsung.
Majalah Midfield menerusi Atlas Obscura melaporkan, kelab bola sepak tersebut pada ketika itu sedang bersiap untuk bergerak ke Pripyat.
Tetapi mereka mendapat panggilan kecemasan melalui sebuah helikopter yang mendarat di padang latihan bola sepak.
“Kamu semua tidak perlu ke Pripyat esok,” kata pegawai helikopter berkenaan.
Akhirnya tragedi ‘dahsyat’ Chernobyle yang berlaku itu sudah pun memberi makna bahawa tiada lagi pasukan bola sepak yang akan bermain di sana lagi.
Baru-baru ini, beberapa gambar stadium terkini yang dikongsikan memperlihat keadaan di mana bahagian tempat duduk penonton bola sepak sudah dipenuhi dengan lumut dan dahan-dahan pokok yang patah.
Beberapa gambar terkini stadium tersebut memperlihatkan tiada lagi sebarang rumput hijau atau garisan putih padang bola yang kelihatan.
Stadium yang dahulunya digunakan sebagai padang perlawanan bola sepak kini menjadi sebuah kawasan yang kelihatan seolah-olah hutan.


Sumber: Daily Star & Atlas Obscura