Siakap Keli
Gambar : bbc.co.uk

Rupanya Untuk Menyiksa Banduan, Kenali Kisah Tragik Disebalik Penciptaan “Treadmill”

Kini, sudah menjadi trend dalam setiap kehidupan masayarakat untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat. Kalau anda perasan, sudah ramai yang sudah berjaya menurunkan sehingga berpuluh-puluh kilogram berat badan mereka sejak musim pandemik lagi.

Bercakap mengenai gaya hidup yang sihat, sudah semestinya kita akan terfikir untuk melakukan aktiviti fizikal bagi mendapatkan figura yang lebih menawan.

Walaupun melakukan aktiviti fizikal bagus untuk kesihatan, namun bukan mudah untuk melakukannya. Tersalah langkah boleh membawa kecederaan yang serius kepada badan.

Kadang-kadang itu, kita akan berasa ia seperti satu bentuk hukuman yang kejam dan luar biasa. Lagi-lagi, untuk orang yang baru ingin memulakan senaman berjalan atau berlari di atas treadmill.

Tetapi, tahukah anda bahawa ada sejarah hitam berkenaan treadmill dan memang itulah fungsinya?

Untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut, sila baca perkongsian di bawah.

Sejarah Asal Penciptaan Treadmill

Treadmill dicipta oleh Sir William Cubbit yang merupakan seorang jurutera awam Inggeris, sebagai cara untuk menghukum dan reformasi kepada sistem penjara di England pada 1800-an.

Hal ini dikatakan demikian kerana, dia berasa jijik dengan sikap malas banduan di Penjara St. Edmond di Bury Cubbit dan percaya senaman keras akan mampu membentuk perilaku banduan kepada yang lebih baik.

Idea yang dilontarkannya tidaklah begitu unik dalam era Victoria di England kerana masyarakat ketika itu mengaitkan tubuh badan yang sihat dan cergas dengan perilaku moral yang tinggi.

Gambar : bbc.co.uk

Treadmill Cubbit biasanya berputar mengelilingi paksi mendatar dan memerlukan banduan untuk melangkah ke atas. Sebagai contoh, ceperti menaiki stepper selama sejam.

Para banduan yang akan dihukum telah diberikan pegangan mendatar untuk kestabilan supaya mereka kurang jatuh dan mencederakan diri mereka.

Lazimnya, banduan akan memijak 24 jejari roda dayung yang besar. Roda tersebut akan berpusing dengan menggunakan gear untuk mengepam air atau menghancurkan bijirin yang membawa kepada nama treadmill.

Masa yang dihabiskan banduan di atas treadmill adalah berbeza-beza, iaitu purata lebih kurang enam atau lebih jam sehari bersamaan dengan mendaki dari 5,000 sehingga 14,000 kaki.

Gambar : bbc.co.uk

Lebih mengejutkan lagi apabila usaha yang dilakukan itu digabungkan pula dengan diet buruk tahanan England dan menyababkan beberapa siri kecederaan.

Pada tahun 1824, pengawal penjara New York, James Hardie, berkata alat penyiksaan tersebut berjaya menjinakkan banduan-banduan yang dijaganya.

Penggunaan treadmill sebagai alat membentuk perilaku banduan kepada moral lebih tinggi bertahan sehingga abad ke-19 sebelum ia dihapuskan kerana ia dianggap sebagai alat penyiksaan yang kejam.

Walau bagaimanapun, treadmill dipopularkan semula pada awal 1970-an oleh Dr. Kenneth H. Cooper yang suka berlari. Treadmill kemudian terus berevolusi sehingga ke hari ini dan ia tidak lagi dilihat sebagai alat penyiksaan, namun sebagai alat yang biasa ditemui di gymnasium untuk membantu orang ramai menjalani kehidupan yang positif.

Namun begitu, jika anda terasa tersiksa ketika berlari di atas treadmill, anda mungkin perlu melihat semula jauh kebelakang tujuan asal alat ini dicipta.

Sumber : physicalculturestudy.com

Fathin Nadzira