Laksa merupakan salah satu hidangan kegemaran rakyat Malaysia. Laksa juga merupakan sajian yang menjadi pilihan masyarakat Malaysia khususnya pada hari perayaan.
Malah sajian ini juga terdapat dalam pelbagai versi yang berbeza mengikut negeri. Ada yang menyajikan hidangan laksa ini dengan kuah yang berlemak. Ada juga yang mempunyai kuah laksa yang pedas.
Bukan setakat kuah laksa yang menjadi perbezaan, malah mi juga salah satu faktor yang membezakan laksa itu berasal dari negeri mana.
Begitulah dengan sajian laksa Sarawak ini. Laksa Sarawak merupakan antara laksa yang sangat berbeza dengan laksa-laksa lain yang terdapat di semenanjung. Kuahnya seolah-olah kuah mi kari tetapi rasanya tidak sama seperti mi kari.
Bagi yang menetap di Semenanjung, mesti anda tertanya-tanya bagaimanakah rasa sebenar laksa Sarawak ini. Jangan risau, kali ini seorang warga Group Masak Apa Hari Ini (MAHM), Nor Khomariah Norrohman ada berkongsikan resipi mudah untuk menghasilkan laksa Sarawak.
Apa yang menarik, laksa Sarawak ternyata tidak menggunakan sebarang isi ikan. Sebaliknya menggunakan air rebusan udang, ayam dan dimasukkan sejenis bahan rahsia.
Nak tahu apa bahan rahsia itu? Anda boleh ikuti perkongsian resipi di bawah.
Selamat mencuba!
Kini anda dah tak perlu terbang ke Sarawak, ini resipi mudah buat laksa Sarawak

Saya memang jatuh cinta dengan Laksa Sarawak, sejak pertama kali makan laksa ni.
Update Resipi Laksa Sarawak
Kali ini buat letak susu cair sedikit, hari tu ada orang komen suruh letak susu cair nak bagi lagi rasa berlemak, betul memang sedap letak susu cair
Resipi Laksa Sarawak
Resipi kuah
Bahan-bahan:
- Paste Laksa sarawak (saya beli pes yang dah siap dalam shopee)
- Isi ayam
- 1 kotak santan (kotak kecil)
- Udang
- Garam dan perasa secukup rasa
- 1 ketul kiub ayam
- Air secukupnya
- Susu cair suku tin
Cara-cara memasaknya:-
- Rebus isi ayam sehingga masak dan keluarkan isi ayam, nanti dah sejuk ayam tu carik carikkan. Kemudian rebus udang sehingga udang bertukar warna dan angkat.
- Masukkan paste laksa Sarawak dan kiub ayam ke dalam air rebusan ayam dan udang tadi, seterusnya masukkan santan, kacau rata, sentiasa kacau kuahnya ye dan masukkan susu cair, Kalau nampak pekat boleh tambah air.
- Masukkan perasa dan garam secukup rasa, bila kuahnya dah terbit (naik) minyak bolehlah tutup api.
Resipi sambal udang kering
Bahan-bahan:
- Cili kering (rebus)
- Udang kering (rendam bagi lembut)
- Bawang besar
- Bawang putih
- Belacan
- Kisar semua bahan diatas
- Garam dan perasa secukup rasa
- Minyak untuk menumis
Nota: Bahan-bahan di atas saya agak-agak je ye. Tak perlu banyak sangat.
Cara-cara memasaknya:-
- Tumiskan semua bahan-bahan di atas sehingga betul-betul pecah minyak dan perasakan dengan garam dan perasa.
- Mihun (celur sehingga lembut)
- Telur dadar (gulung dan potong)
- Isi ayam dicarik
- Udang yang direbus tadi
- Taugeh
- Daun ketumbar
- Limau kasturi
- Sambal udang kering
Akhir sekali, letak mihun, tuang kuah, susun bahan-bahan, perah limau kasturi dan sedia untuk dimakan
Sumber: Nor Khomariah Norrohman melalui Masak Apa Hari Ini