Siakap Keli
Gambar: The Independent

Saintis Temui Bebola Kaca Misteri ‘Glass Globules’ Dikesan Pada Permukaan Bulan

Peneroka China telah menemui beberapa bebola kaca (glass globules) pada hujung permukaan bulan. Menurut para saintis, penemuan kali ini agak berbeza dengan mineral-mineral yang pernah ditemui sebelum ini, memetik laporan The Independent.

Penemuan misteri itu dilapor menerusi jurnal yang dikeluarkan oleh Science Bulletin. Menurut kajian, penyelidik meneliti imej yang diambil menerusi kamera panorama di atas dan menemui banyak bebola kaca yang berbentuk sfera.

Menurut Balkan Travellers, bebola kaca itu berukuran sehingga empat sentimeter lebar dan telah ditangkap menerusi kamera panorama Yutu-2 milik peneroka China.

“Penemuan cukup misteri ini mampu membuka minda kita, kerana ia sesuatu yang unik di bulan,” kata Dr Zhiyong Xiao, ketua kajian dari Universiti Sun Yat-sen China menerusi satu kenyataan.

Difahamkan, sebelum ini para penyelidik termasuk angkasawan Apollo pernah menemui beberapa mineral di bulan seperti tektite dan mikrotektit yang terbentuk akibat hentakan dengan asteroid dan meteorit.

Gambar: Science China Press

Tetapi penemuan itu tidak sama dengan bebola kaca ini. Mineral sebelum ini kebanyakannya gelap dan legap, berbeza dengan ciri-ciri yang ada pada bebola kaca ini.

Para penyelidik juga tidak menyangka bahawa mereka berpeluang untuk melihat bebola kaca lut sinar seperti itu.

Dalam pada itu, penyelidik turut mencari asal usul bebola kaca (globules) ini berdasarkan ciri warna, morfologi, geometri dan umur bebola ini.

Menurut iflscience, bebola kaca itu terbentuk daripda bahan-bahan yang tidak mempunyai besi seperti anorthosites.

Panorama Yutu-2 yang merakam objek itu tidak berpeluang menganalisis bebola itu dengan lebih mendalam.

Gambar: Science China Press

Mungkin berguna untuk pangkalan bulan pada masa akan datang

Tetapi para saintis mendakwa bahawa bebola kaca itu akan menjadi sesuatu yang berharga pada masa depan.

“Agak malang apabila kami mula-mula menemui bebola kaca ini, tiada sebarang data mengenainya yang berjaya diperoleh, tetapi globules ini mungkin sesuatu yang biasa berlaku di bahagian bulan,” kata Xiao kepada iflscience.

Difahamkan, mineral seperti ini merupakan perkara biasa di permukaan bulan. Oleh itu para saintis akan menjadikan ia sebagai salah satu sumber untuk digunakan di bulan pada masa hadapan.

Sumber: The Independent, Balkan Travellers & iflscience

Nadhirah