Ibu pelakon terkenal Thailand, Tangmo Nida atau Nida Patcharaveerapong tidak percaya kematian anak perempuanya itu berpunca daripada kemalangan setelah dikatakan terjatuh dari sebuah bot laju di Sungai Chao Phraya.
BACA: Lima Individu Dalam Bot Bakal Dikenakan Tuduhan Kecuaian Dan Beri Kenyataan Palsu Kepada Polis
Pasukan penyelamat menemukan mayat selebriti berusia 37 tahun itu berhampiran jeti Pibul Songkhram 1 di Nothaburi, sekitar jam 1.10 tengah hari Sabtu, kira-kira satu kilometer dari tempat dia terjatuh dari bot laju pada jam 10 malam Khamis.

Memetik laporan Bangkok Post, ibu Nida, Panida Sirayutthayothin berkata, dia ingin mengetahui siapakah yang menguruskan sesi fotografi yang kononnya diupah oleh mendiang anaknya.
Tambahnya, sukar untuk dia mempercayai keenam-enam individu itu, termasuk Nida dan pengurusnya yang dikatakan berada di atas bot berkenaan hanya untuk makan.
Melihat kepada gambar terakhir yang sempat dirakam, Panida mengatakan bahawa Nida berada dalam keadaan siap berdandan.
Ujar Panida, individu-individu yang berada di atas bot berkenaan mungkin sempat bertengkar. Sekeping gambar juga menunjukkan bahawa anaknya kelihatan tidak gembira dan duduk sendirian di bahagian belakang bot.

Lapor Bangkok Post, Ibu Pelakon Thailand itu turut menyangkal laporan yang mengatakan tandas bot yang dinaiki anaknya tidak berfungsi dengan baik.
“Tangmo adalah seorang bintang. Sukar untuk membayangkan dia pergi ke bahagian belakang bot untuk melakukan hal itu,” kata ibu pelakon wanita tersebut.
Terdahulu, laporan yang beredar mengatakan Nida pergi ke bahagian belakang bot untuk membuang air, oleh kerana tandas yang berada di dalam bot itu rosak.

Menurut pengurus Nida, dia sedang melihat ke arah sungai semasa kejadian itu berlaku. Bercakap tentang perjalanan menaiki bot berkenaan, pengurus Nida berkata ia hanya sebuah ‘perjalanan’ untuk melihat pemandangan bersama rakan-rakan.
Tambah wanita itu, Nida juga menolak untuk memakai jaket keselamatan kerana ingin mengambil beberapa keping gambar di atas bot.
Terdapat kesan luka, calar pada kaki Tangmo
Menurut Bangkok Post, pihak polis memaklumkan bahawa terdapat luka yang dalam pada peha selebriti tersebut dan beberapa kesan calar pada salah seorang lelaki yang turut berada di atas bot bersama Nida.
Menurut pihak polis, hasil bedah siasat mengesahkan Nida lemas kerana terdapat lumpur di dalam paru-parunya.
Setakat ini, polis belum dapat memastikan sama ada kesan luka pada bahagian peha Nida adalah disebabkan kipas bot. Terdapat juga beberapa kesan calar kecil di kaki kiri Nida yang juga masih tidak dapat dikenalpasti puncanya.

Salah seorang lelaki yang berada di atas bot berkenaan turut dilaporkan mengalami kesan calar pada bahagian lengan dan lebam di bahu. Kesan calar itu dikatakan lebih besar dari kesan cakaran, manakala lebam pada bahu lelaki berkenaan berpunca dari impak objek keras.
Ujar pihak polis, mereka akan mengetahui jawapan dalam tempoh tiga hingga empat hari lagi untuk mengenalpasti sama ada terdapat kesan air kencing pada bahagian belakang bot, pakaian serta napkin yang digunakan Nida.
Sebelumnya, salah seorang individu yang turut menaiki bot bersama Nida berkata bahawa pelakon terkenal itu terjatuh semasa membuang air di bahagian belakang bot.
Pihak polis kini masih menunggu keputusan darah dan ujian DNA. Sementara kelima-lima individu yang berada di atas bot bersama Nida ketika kejadian dikategorikan sebagai saksi dan pihak polis masih menunggu kebenaran mereka untuk disoal siasat.

Sumber: Bangkok Post