Tular video seekor monyet membawa lari sebuah telefon bimbit milik seorang gadis yang dipercayai merakam video konten TikTok.
Video tersebut menjadi tular selepas dimuat naik oleh akaun @memomedsos di rangkaian media sosial Instagram pada Isnin, 28 Februari lalu.
Rakaman video tersebut memaparkan seorang gadis meletakkan telefon bimbitnya di atas lantai dan kemudian berjalan menuju ke hadapan.
Ketika gadis tersebut berdiri bersama rakannya, salah seorang daripada mereka tiba-tiba menjerit. Rakaman video tersebut tiba-tiba berubah menunjukkan langit biru pada waktu itu. Video itu menjadi samar-samar akibat bergoyang.
Rupa-rupanya, telefon bimbit milik gadis itu dibawa lari oleh monyet yang berada di kawasan itu. Kaki dan badan monyet itu dapat dilihat dalam video tersebut apabila dia berlari dengan telefon bimbit berkenaan.
Gadis itu berlari mengejar monyet tersebut sambil menjerit panik. Di penghujung video tersebut, kelihatan seperti berlaku pergaduhan antara gadis dan monyet berkenaan.
Setelah mendapatkan semula telefon bimbitnya, gadis itu dilihat melarikan diri dari monyet itu dalam keadaan ketakutan.