Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Jangan Cemas Jet TUDM Terbang Rendah, Hanya Latihan Operasi & Kesiagaan

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memaklumkan bahawa akan melaksanakan latihan operasi dan kesiagaan bagi aset-aset udara bermula 3 hingga 7 Mac 2022.

Menurut kenyataan, latihan operasi kesiagaan ini bertujuan untuk menilai kecekapan anak kapal TUDM, anggota-anggota Pasukan Khas TUDM (PASKAU) dan pasukan logistik dalam melaksanakan tanggungjawab melindungi kedaulatan negara.

“Latihan ini bertujuan untuk menguji keupayaan peralatan persenjataan serta kesiagaan aset-aset TUDM bagi menjamin keberkesanan pelaksanaan tugas operasi bersama yang melibatkan pesawat-pesawat dari pelbagai kategori seperti pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter,” kata TUDM.

Tambah kenyataan itu lagi pesawat-pesawat TUDM akan melaksanakan penerbangan taktikal secara rendah di kawasan-kawasan tertentu khususnya di sekitar negeri Selangor serta Pangkalan Udara Gong Kedak, Pangkalan Udara Butterworth dan Pangkalan Udara Kuantan.

“TUDM ingin memaklumkan kepada orang ramai agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat TUDM terbang rendah di sepanjang tempoh latihan operasi dan kesiagaan dilaksanakan,” kata TUDM

Sumber: TUDM

Sofea

There's always another side to every story