Siakap Keli
Gambar Hiasan via Google

Kes Bunuh Daro: Tertuduh Akan Didakwa Di Mahkamah Tinggi Sibu

SIBU, 2 Mac (Bernama) — Seorang lelaki berusia 31 tahun yang didakwa membunuh dua wanita warga Indonesia di Daro bulan lepas akan menghadapi pertuduhan di Mahkamah Tinggi Sibu, Jumaat ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Sibu Christopher Chin Soo Yin menetapkan tarikh itu semasa tertuduh dibawa ke mahkamah di sini hari ini, untuk sebutan kes.

Kes tertuduh dipindahkan ke Mahkamah Tinggi daripada Mahkamah Majistret Sarikei dan tiada pertuduhan dibacakan kepada lelaki itu.

Mahkamah juga menetapkan perbicaraan akan bermula dengan suami kepada mangsa wanita itu memberi keterangan selepas sebutan semula kes pada tarikh ditetapkan.

Ini adalah bagi membolehkan suami mangsa membawa pulang jenazah isteri masing-masing ke Indonesia untuk dikebumikan.

Lelaki berkenaan berhadapan dua pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Sarikei pada 25 Feb lepas.

Dalam pertuduhan pertama dia dituduh membunuh Pandang Sarang pada pukul 11 pagi di sebuah ladang kelapa sawit di Daro pada 11 Feb tahun ini sementara dalam pertuduhan kedua, tertuduh didakwa membunuh mangsa pada pukul 11 malam hari sama di sebuah lagi ladang kelapa sawit juga di Daro.

Timbalan Pendakwa Raya Dona Liyanna Sabariah Azmi mengendalikan pendakwaan sementara Ben Lau ditugaskan sebagai peguam mewakili tertuduh.

Sumber: Bernama

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.