Siakap Keli
Masjid Pakistan dibom
Masjid di Pakistan dibom

Masjid Di Pakistan Dibom, Sekurang-Kurangnya 30 Terbunuh

Sebuah masjid di Pakistan dibom pada Jumaat dan sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dan lebih 60 orang cedera, lapor Al-Jazeera.

Letupan bom berkenaan dikatakan berlaku dari dalam Masjid Kucha Risaldar, ketika lebih dari 30 orang jemaah sedang berkumpul di dalam masjid tersebut untuk menunaikan solat Jumaat.

Menurut Ketua Polis Peshawar, Muhammed Ejaz Khan, kekecohan bermula dari dua orang penyerang bersenjata yang melepaskan tembakan ke arah pihak polis yang berada di luar masjid.

Memetik Al Jazeera, salah seorang penyerang dan seorang anggota polis dilaporkan terbunuh dalam insiden berbalas tembakan itu, manakala seorang lagi anggota polis dilaporkan cedera. Para penyerang lain kemudiannya didakwa masuk ke dalam masjid lalu meletupkan bom di dalam masjid.

Sebilangan mangsa tercedera manakala beberapa lagi dilaporkan dalam keadaan kritikal, laporan Independent. Ambulans telah dikejarkan ke tempat kejadian untuk membawa mangsa ke Hospital Lady Reading bagi mendapatkan rawatan.

Menurut jurucakap hospital, Mohamed Asim, diperkirakan lebih dari 60 orang mangsa tercedera akibat kejadian pengeboman itu dan jumlah kematian diramal akan terus meningkat.

Bahagian kecemasan hospital itu dikatakan sesak dengan mangsa pengeboman berkenaan dan para doktor kini sedang mencuba sedaya upaya mengalihkan mangsa yang tercedera ke dewan bedah untuk tindakan lanjut.

Kejadian seperti serangan pembunuhan

Jelas salah seorang pegawai polis setempat, Mohammad Sajjad Khan, pihaknya kini sedang menyiasat keadaan sebenar yang menyebabkan masjid di barat laut Pakistan itu dibom oleh kumpulan yang melancarkan serangan.

“Kami dalam situasi kecemasan dan mereka yang tercedera sedang dibawa ke hospital. Kami sedang menyiasat keadaan letupan tetapi ia kelihatan seperti serangan pembunuhan,” katanya memetik laporan Al Jazeera.

Sementara itu, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan memetik laporan Independent mengutuk sekeras-kerasnya tindakan serangan itu dan mengarahkan autoriti setempat menangani mereka yang terkesan secepat mungkin.

Setakat ini, masih belum dapat dikenal pasti pihak yang bertanggungjawab melancarkan serangan ke atas masjid tersebut. Namun dikatakan kejadian serangan seperti ini bukan pertama kali terjadi di kawasan berkenaan.

Video kejadian pengeboman ini telah disiarkan secara meluas di media sosial ketika ini.

Sumber: Independent, Al Jazeera

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.