Filem superhero popular, The Batman kembali menemui peminat dan telah ditayangkan di seluruh dunia bermula minggu lalu.
Pelakon utamanya, Robert Pattinson yang membawa watak Bruce Wayne atau Batman kini menjadi bualan ramai apabila lakonannya di dalam filem itu dikatakan ‘menjadi’.
Sejak ditayangkan, rata-rata memberikan ulasan yang baik dan mengatakan bahawa pemilihannya sebagai Batman satu keputusan yang tepat.
Giat mempromosikan filem itu, Robert bersama heroinnya, Zoe Kravitz baru-baru ini telah ditemu bual oleh pihak pawagam terkenal di Indonesia, Cinema 21 dan telah mendedahkan mengenai pelbagai perkara menarik yang berlaku ketika menjalani penggambaran filem itu.
Salah satu yang menarik perhatian adalah mengenai aksinya di dalam filem itu. Menurut Robert, gaya pertarungan yang dipamerkan di dalam filem itu turut mempunyai kombinasi pencak silat.
“Silat dari Indonesia kan? Ia lain daripada yang lain,” jawabnya ketika ditanya oleh penemu bual, Chelsea.
Dia juga turut berkongsi mengenai beberapa gerakan silat yang dipelajarinya.
“Ia mempunyai pukulan maut. Gerakan memusing di belakang kepala kemudian diakhiri dengan pukulan siku pada tulang belakang lawan.
“Ia gila dan menyeronokkan,” katanya.
Di dalam filem itu, Batman perlu berlawan dengan manusia biasa yang kebanyakannya menggunakan pertarungan jarak dekat.
Disebabkan itu, dia perlu mempelajari aksi pertarungan tangan agar adegan tersebut menjadi natural.
Terdahulu, Robert juga dilaporkan mempersiapkan dirinya untuk watak itu dengan mempelajari jiu-jitsu dari pemegang tali pinggang merah dan hitam jiu-jitsu Brazil, Rigan Machado, yang turut melatih Keanu Reeves untuk filem John Wick.
Ia mengutamakan pertarungan lantai (ground fight), kuncian, serta cekikan yang menjadikan adegan pertarungan Robert kelihatan lebih realistik.
Sejak trilogi The Dark Knight berakhir hampir sedekad lalu, penantian lama untuk filem solo Batman dikatakan menepati jangkaan. Filem arahan Matt Reeves itu menerima skor sehingga 86% daripada Rotten Tomatoes.
Filem itu juga sudah memasuki pawagam Malaysia dan menjadi sohor kini di media sosial sejak beberapa hari yang lalu.
Sumber: Cinema 21, Good News From Indonesia